AM

AHMAD ZAHID RAKAM PENGHARGAAN KEPADA MEDIA BUAT LIPUTAN MTL 2023/2024

07/05/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang lepas.

Berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan MTL 2023/2024 hari ini, beliau berkata pihak media telah memberikan liputan yang amat baik ketika negara sedang mendepani bencana itu.

“Saya akan rasa bersalah kalau tidak berterima kasih kepada petugas media yang telah memberikan liputan amat-amat baik.

“Rupa-rupanya apabila kita menghadapi masalah bencana, tidak ada lontaran dan pandangan negatif yang dipalingkan kepada kita, ertinya kita sebagai rakyat Malaysia dan mereka sebagai pengamal media di negara ini tidak bergelut pendapat. Ini cukup membanggakan atas kerjasama pihak-pihak media,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan peranan agensi penguatkuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan yang turut sama berganding bahu semasa MTL. 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sijil kepada pihak yang terlibat termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur-ul Afida Kamaludin.

Sementara itu, Nur-ul Afida merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana telah mengiktiraf sumbangan petugas Bernama termasuk wartawan, jurufoto, jurukamera serta staf media sosial yang membuat liputan MTL.

“Ini membuktikan pentingnya peranan dan sumbangan kami sebagai antara petugas barisan hadapan terutama dalam melaporkan kejadian bencana di seluruh negara.

“Peranan Bernama sebagai sumber berita diyakini juga penting terutama kepada media lain yang menjadi pelanggan kami, yang mengharapkan penyaluran berita yang tepat, sahih dan pantas,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan