AM

Malaysia Antara Negara Paling Aman, Namun Jangan Ambil Mudah - Ahmad Zahid

18/05/2024 02:59 PM

JERANTUT, 18 Mei (Bernama) -- Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam sehingga mengorbankan dua anggota polis tidak boleh diambil mudah walaupun negara berada dalam keadaan aman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu berusaha keras menghalang kejadian mengejutkan itu daripada berulang.

Bagaimanapun katanya beliau yakin Malaysia adalah antara negara paling aman dari unsur keganasan berdasarkan indeks keamanan.

“Malaysia adalah negara contoh, dasar deradikalisasi Malaysia telah diterima di dunia. (Jadi) Saya rasakan tak sepatutnya negara kita hadapi permasalahan dari segi keganasan.... 

“Negara kita harus bebas dari keganasan, kita harus jamin keharmonian pelbagai kaum, pelbagai agama. Apa berlaku di Ulu Tiram, tindakan pantas polis amat dialu-alukan dan kita mahu hapuskan 100 peratus pengaruh terrorism atau keganasan di negara kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Felcra Japutra Sdn Bhd  - Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid  yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya menyarankan supaya kesefahaman silang budaya dan komunikasi terus diperkukuhkan supaya masyarakat lebih mengenal antara satu sama lain. 

“(Silang budaya dan komunikasi) dilakukan supaya pemahaman dan kefahaman rakyat pelbagai kaum dapat dipertahankan di negara ini,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat umum tidak meminggirkan bekas-bekas ahli kumpulan yang dianggap radikal, supaya mereka tidak kembali terjebak dengan aktiviti tidak sihat kerana terasing daripada komuniti lebih besar di sesuatu kawasan.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi semalam itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan 24 tahun, serta seorang suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Suspek lelaki ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan pemeriksaan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan