AM

KESTABILAN POLITIK BAWA PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN DI SARAWAK - TPM AHMAD ZAHID

19/05/2024 10:08 AM

SIBU, 19 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Beliau berkata antara pembangunan dan kemajuan tersebut ialah pengenalan teknologi hidrogen oleh Premier  Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Ahmad Zahid tidak ada negeri di Malaysia yang mempunyai tujuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti di Sarawak yang menyediakan pengajaran dalam bidang teknologi seperti Internet  Kebendaan, robotik dan teknologi baharu.

“Saya berkata demikian bukan kerana membandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, namun hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai atas usaha Tan Sri Abang Johari yang bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan pra-Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) 2024 di sini malam tadi.

Beliau berkata amat penting bagi negeri mempunyai kestabilan politik untuk bergerak maju di dalam bidang teknologi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sokongannya terhadap TVET sebagai aliran baharu di dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya dahulu bidang TVET adalah pilihan kedua atau ketiga bagi ibu bapa yang anak-anak mereka gagal di dalam bidang akademik.

"Tetapi Sarawak telah menggantikannya sebagai pilihan pertama anak-anak muda untuk mendapatkan pelajaran. Inilah yang dijadikan contoh dan kemajuan ini saya yakin adalah kerana kepimpinan yang baik oleh Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selagi beliau diberikan amanah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneraju Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, beliau akan memberikan keutamaan kepada kemajuan infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak.

Meskipun bukan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya, Ahmad Zahid berkata beliau akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri membantu dalam memajukan rumah-rumah panjang yang uzur, musnah kerana kebakaran atau dilanda banjir.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan