AM

GAJI PENJAWAT AWAM SABAH NAIK SELARAS DENGAN PERSEKUTUAN - HAJIJI

07/05/2024 02:56 PM

KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Penjawat awam negeri Sabah bakal menikmati kenaikan gaji yang akan diselaraskan seiring dengan rakan mereka di peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimananpun, beliau berkata kerajaan negeri akan terlebih dahulu meneliti perincian kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka diumumkan pada Belanjawan 2025 Oktober ini, sebelum melaksanakan sebarang kenaikan.

"Kita juga akan menaikkan gaji penjawat awam di Sabah, jangan bimbang. Kita ikut kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di Putrajaya berkata skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini iaitu kadar tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata terdapat 756 kesatuan sekerja di seluruh negara merangkumi keahliannya lebih 1 juta orang, dengan Sabah mempunyai 84 kesatuan sekerja berjumlah 53,321 ahli. 

"Peratusan pekerja yang menyertai kesatuan di Sabah hanyalah 2.58 peratus berbanding jumlah keseluruhan pekerja pada suku tahun keempat 2023 iaitu 2.061 juta orang sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara," katanya.

Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Sabah tahun lepas berjaya mengutip sebanyak RM38.9 juta daripada 5,367 majikan yang melakukan kesalahan.

Aktiviti penguatkuasaan itu katanya, telah memberi manfaat secara langsung kepada 159,491 pekerja, manakala 14,746 pekerja mendapat manfaat kewangan.

"Setakat 15 April lepas, JTK Sabah mengutip sebanyak RM6.36 juta melibatkan 1,250 majikan yang memberi manfaat secara langsung dari segi pematuhan undang-undang kepada 38,894 pekerja dan manfaat kewangan kepada 2,681 pekerja," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan