AM

TEKNOLOGI FSO BERPOTENSI SELESAIKAN AKSES LIPUTAN INTERNET KEPADA RAKYAT - FAHMI

18/05/2024 09:24 PM

SEMPORNA, 18 Mei (Bernama) -- Teknologi Free Space Optical Communication (FSO) digunakan  Telekom Malaysia Bhd (TM), bagi memberikan liputan Internet kelajuan tinggi kepada penduduk di Pulau Bum Bum di sini, berpotensi digunakan di kawasan memerlukan di seluruh negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata berdasarkan pemerhatiannya ke atas FSO di Pulau Bum Bum hari ini, teknologi itu boleh dimanfaatkan sebagai penyelesaian untuk memberikan akses di kawasan yang mencabar, antaranya kawasan yang sukar dibina menara telekomunikasi.

Beliau berkata sekitar tiga peratus kawasan berpenduduk di negara ini belum mempunyai akses Internet melibatkan sekitar 2,800 komuniti, yang mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan hanya 15 peratus daripada komuniti itu, sesuai diberikan akses Internet melalui menara telekomunikasi.

“Manakala baki 85 peratus kawasan ini dalam komuniti tersebut, mungkin perlu ada penyelesaian secara hibrid, ada sesetengah perlu satelit atau VSAT (Very Small Aperture Terminal), ada setengah perlu teknologi baharu (seperti FSO), saya minta percepat proses.

“Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) serta MCMC meneliti perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum Bum di sini hari ini.

Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim berkata teknologi FSO itu, menggunakan cahaya yang dipancarkan melalui ruang bebas untuk tujuan telekomunikasi dan menghantar data secara tanpa wayar sejauh tiga kilometer.

“FSO membolehkan Internet jalur lebar kelajuan giga yang tinggi, sejajar dengan bandar lain di Malaysia. Pulau Bum Bum ini, antara empat lokasi yang telah kami jayakan di Malaysia sejak 2022, termasuklah di Pulau Aman di Pulau Pinang serta di Maludam dan Beladin di Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Fahmi berkata 186 buah pusat itu dalam proses untuk dibangunkan di seluruh negara, membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini memperoleh pelbagai manfaat terutama melalui kemudahan Internet berkelajuan tinggi disediakan.

“Bagi sesetengah kawasanm terdapat permintaan untuk meningkatkan jumlah pewujudan pusat itu dan kita melihat perkara itu. Satu perkara kita lihat berdasarkan kaji selidik, bagi yang tinggal di lingkungan dua hingga tiga kilometer dari NADI mendapat banyak manfaat,” katanya.

Menerusi usaha penambahan itu, jumlah NADI di Sabah akan ditingkatkan kepada 132 buah berbanding 118 sebelum ini, yang mana NADI di Pulau Bum Bum dimanfaatkan lebih 3,000 komuniti sekitar dan 2,200 orang anggota komuniti menyertai program dilaksanakan di pusat itu.

Terdahulu, ketika menghadiri Program Jiwa MADANI di Kampung Terusan Tengah di pulau itu, Fahmi berkata ketua kampung boleh memohon dana sehingga RM100,000 melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), diberikan kerajaan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

“Pogram ini boleh dimohon misalnya untuk pertanian, tingkatkan ekonomi tempatan contohnya produk khusus di kawasan itu, di setengah tempat di Sabah ada buat sambal Tuhau saya dah makan, sedap dan sekarang dijadikan produk boleh dijual melalui Shopee.

“Tengok apa produk yang boleh diusahakan dan mohon dana program ini, tapi dana yang dimohon itu untuk manfaat bangun ekonomi komuniti kawasan itu bukan untuk melancong,” katanya yang menambah program itu mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Pulau Bum Bum mempunyai potensi tinggi menarik lebih ramai kedatangan pelancongan, justeru ia perlu dipersediakan daripada segi fasiliti termasuk internet dinaik taraf menjelang tahun 2026 yang merupakan Tahun Melawat Malaysia.

“Kita mahu lebih ramai pelancong datang ke Malaysia, untuk merancak hubungan dan pertumbuhan ekonomi, kalau datang ke sini mesti ada yang muat naik gambar, saya lihat kemampuan, potensi Pulau Bum Bum cukup tinggi, air cantik, dan makanan sedap,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan