AM

PERAK CADANG PERLUAS PROJEK PENANAMAN PADI SKALA KECIL KE SEKOLAH UNTUK TUJUAN PENDIDIKAN

06/05/2024 03:16 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Mana-mana sekolah di Perak yang berminat menjalankan projek penanaman padi berskala kecil boleh menghubungi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan jabatan berkaitan untuk perincian lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata ia merupakan salah satu usaha bagi menyokong agenda sekuriti makanan negeri serta memberi pendedahan dalam bentuk pembelajaran kepada para pelajar berkaitan tanaman tersebut.

“Diperluaskan projek penanaman padi ke sekolah ini sebenarnya apa yang harus berlaku. Ia bukan hanya memberi pengetahuan kepada anak-anak kita, malah boleh dijadikan pendapatan sampingan atau tabungan kepada pihak sekolah jika dihasilkan dalam jumlah yang banyak.

“Pihak sekolah boleh berjumpa terus pihak berkaitan termasuk Perak SADC untuk mengetahui perincian dari segi khidmat nasihat, bahan-bahan pertanian dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Majlis Tuaian Sulung Padi Dalam Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia di sini hari ini.

Mengulas tentang penanaman padi di SK Rapat Setia, Zolkafly berkata ia satu usaha yang wajar diberikan pujian kerana komitmen seluruh warga sekolah dalam menjayakan projek tersebut.

Sementara itu, guru besar SK Rapat Setia Nor Hizan Abd Jalil berkata hasil tuaian pertama projek penanaman padi jenis PR23 itu telah menghasilkan lebih 120 kilogram (kg) padi yang telah ditanam sejak Oktober tahun lalu.

Beliau berkata projek yang dilakukan ini juga secara langsung dapat meningkatkan kesedaran murid selain melibatkan murid secara aktif dalam proses penjagaan dan pemeliharaan padi tersebut sehingga penuaian hasil.

“Projek ini juga menjadi satu aspek kebitaraan sekolah dalam menjalin hubungan baik dengan agensi luar terutama Perak SADC, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Jabatan Pertanian Daerah Kinta,” katanya.

Sebelum ini, projek penanaman padi sekolah tersebut yang dikenali sebagai ECORICE SKRS dengan keluasan sekitar 0.006 hektar itu telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson pada 16 November tahun lalu. 

Ia juga merupakan projek penanaman padi dalam sekolah bandar yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan