AM

PROJEK NAIK TARAF JALAN PERSEKUTUAN FT3210 HULU LANGAT BAKAL MANFAAT 52,000 PENGGUNA

19/05/2024 12:38 PM

HULU LANGAT, 19 Mei (Bernama) -- Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Jalan Dato Alias ke persimpangan Batu 9, Hulu Langat yang dijangka siap pertengahan 2026 bakal memberi manfaat kepada 52,000 pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek dengan kos RM123.66 juta itu sepatutnya siap pada 2025, namun terpaksa dilanjutkan berikutan masalah pengambilan tanah dan pemindahan utiliti.

“Ini semua untuk mengurangkan kesesakan serta demi keselesaan dan keselamatan pengguna sebab kawasan ini sedang membangun, jalan sedia ada sudah tidak mampu menampung pertambahan trafik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu di sini hari ini.

Nanta berkata program turun padang itu bertujuan memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan di samping aspek keselamatan di tempat kerja sentiasa diberi keutamaan dalam pelaksanaan semua projek Kementerian Kerja Raya (KKR).

Projek itu diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia ke-11 (RP4, RMK11) bagi mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak dari Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur.

Projek yang bermula pada 6 Ogos 2021 itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf dari simpang Taman Suntex sepanjang 1 kilometer (km) dan FT3210 dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato Alias sepanjang 1km dari jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong.

Ini termasuk pembinaan jejambat dua lorong satu hala dari Hulu Langat ke Cheras serta membina dan menggantikan Jambatan Sg Sering.

Dalam pada itu, Nanta turut meninjau lokasi yang sering mengalami banjir kilat di laluan FT3210 terutama di jalan masuk ke kawasan perindustrian Hulu Langat iaitu seksyen 2.45 (Stor Gas Pusaka) dan seksyen 5.45 (Petronas Bukit Nanding). 

Bagi seksyen 2.45, beliau berkata Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) KKR telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 pada Februari lepas bagi kerja-kerja pembersihan pembetung yang dipenuhi air dan keladak serta siap dilaksanakan pada 3 April.

Untuk penyelesaian jangka panjang pula, BPF mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat mengadakan penyelarasan bersama agensi terbabit bagi menyelesaikan isu hakisan tanah dan pembersihan saluran keluar pembetung di lokasi tersebut bagi mengelakkan banjir kilat. 

Beliau berkata bagi mengatasi banjir kilat di Petronas Bukit Nanding, JKR Hulu Langat memohon Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 bagi kerja-kerja menaik taraf longkang dengan kos anggaran bernilai RM2 juta. 

Namun, JKR Daerah akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT yang terlibat bagi penyelesaian jangka panjang.

Sehingga Mei 2024, KKR telah meluluskan APJ Tahun 2024 sebanyak RM18.36 juta kepada JKR Hulu Langat untuk penyenggaraan jalan Persekutuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan