AM

UUM, KEMENAG METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA PENDIDIKAN

05/05/2024 06:38 PM

SINTOK, 5 Mei (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan Direktur Pendidikan Tinggi Keagamaan Islam Kemenag Prof Dr Ahmad Zainul Hamdi.

Majlis penandatanganan di UUM itu dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad dan Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Republik Indonesia Prof Dr Muhammad Ali Ramdhani.

Megat Sany berkata MoU berkenaan melibatkan program kerjasama akademik antara UUM dan lima Universitas Islam Negeri (UIN) di bawah Kemenag iaitu UIN Ar-Raniry Banda Acheh, UIN Raden Fatah Palembang, UIN Sunan Ampel Surabaya, UIN Sunan Gunung Djati Bandung dan UIN Mataram.

Beliau berkata menerusi MoU itu seramai 43 pelajar daripada kelima-lima UIN yang ditaja Kemenag melalui Biasiswa Indonesia Bangkit (BIB) akan mengikuti pengajian peringkat sarjana di UUM dan UIN selama dua tahun.

"Mereka akan berada di UUM selama setahun dan di UIN terlibat juga setahun dalam pelbagai program sarjana.

“… ini kali pertama kerjasama antara UUM dan Kemenag, kita harap MoU ini dapat dimanfaatkan serta makin ramai cendekiawan dan ilmuan dilahirkan selain mengeratkan hubungan dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan berkenaan.

Kerjasama bersama UIN itu turut merangkumi pertukaran pelajar, persidangan akademik bersama, penyelidikan kolaboratif dan penerbitan ilmiah.

Sementara itu, Ahmad Zainul berkata pihaknya berterima kasih kepada UUM kerana menganjurkan kerjasama akademik sebagai wadah untuk mengantarabangsakan pendidikan antara Indonesia dan Malaysia selain berharap UUM dapat menghantar pelajar Malaysia ke Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan