AM

PM Anwar Saksikan Pertukaran 6 Mou Antara Malaysia Dan Uzbekistan

18/05/2024 10:21 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

SAMARKAND, 18 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran enam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Uzbekistan di sini pada Sabtu, untuk kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

MoU itu antaranya melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan (CCIU) sebagai usaha mengukuhkan dan membangunkan kerjasama promosi perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan serta pertukaran maklumat perdagangan.

Ia juga untuk organisasi dan pelaksanaan aktiviti promosi perdagangan, menggalakkan pertukaran lawatan dan perkongsian pengalaman dalam pembangunan kapasiti berkaitan aktiviti promosi perdagangan.

Satu lagi MoU adalah antara Sunview Sdn Bhd dan Yashil Energiya” LLC untuk pemasangan panel solar dengan jumlah kapasiti hingga 50 mW di bangunan organisasi sosial dan pejabat kerajaan di Uzbekistan.

Sementara itu, Unversity Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Tashkent State University of Economics (TSUE) akan bekerjasama dalam sektor pendidikan terutamanya untuk membangunkan program kolaboratif bagi manfaat pihak-pihak dan menyediakan peluang serta sokongan kepada pelajar dalam pembangunan profesional dan kerjaya mereka.

Selain itu, kedua-dua universiti juga akan menggalakkan pertukaran institusi dengan menjemput fakulti, petugas dan pelajar daripada institusi rakan kongsi, selain bekerjasama dalam program pendidikan yang dipersetujui pihak-pihak dan dalam geran penyelidikan PhD, Penyelidikan Bertauliah, geran padanan, penyelidikan dan pembangunan perpustakaan.

Kedua-dua universiti turut bersetuju untuk berkongsi pengetahuan berhubung perkembangan dalam pengajaran, penyelidikan, latihan dan amalan, serta menganjurkan projek penyelidikan dan perundingan bersama dalam bidang kepentingan bersama, dan mengelolakan simposium, acara, sesi, persidangan, bengkel, kursus pendek, wacana dan mesyuarat mengenai perakaunan dan kewangan, ekonomi dan perniagaan.

Satu lagi universiti Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) akan turut bekerjasama dengan TSUE dalam pertukaran fakulti, aktiviti penyelidikan bersama dan penerbitan, program akademik (Ijazah Berganda, Sarjana dan PhD).

Kedua-dua pihak akan berkolaborasi dalam penyertaan seminar dan mesyuarat akademik, pertukaran bahan akademik dan maklumat lain, program akademi jangka pendek khas, pertukaran pelajar untuk penyelidikan dan mengkaji mana-mana bidang kerjasama yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.

UUM juga akan bekerjasama dengan Banking and Finance Academy (BFA) dengan UUM menawarkan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM) dan sebaik selesai, BFA akan memindahkan kredit ke program MBA institusi itu.

Turut menyaksikan pertukaran MoU yang diadakan di Kompleks Laluan Sutera Samarkand ialah Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev.

Anwar berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari. Beliau tiba di Tashkent pada Jumaat.

Antara anggota delegasi Malaysia sewaktu lawatan di Uzbekistan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan