SUKAN

SELANGOR TEWASKAN KDA FC 1-0, BERGEMA 'SIU' DI MBPJ

19/05/2024 12:51 AM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Jaringan tunggal Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menyaksikan Selangor FC memulakan saingan Liga Super 2024/2025 dengan cemerlang, apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Petaling Jaya, malam ini.

Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan seolah-olah ‘belum panas’, apabila masing-masing mencari rentak menghidupkan peluang keemasan namun gagal diterjemahkan sebaiknya oleh mereka.

Namun Stadium MBPJ masih digamatkan dengan tepukan gemuruh daripada peminat Gergasi Merah dan Sang Kenari, sebagai tanda solidariti kepada pemain sayap Selangor FC Faisal Halim, yang menjadi mangsa simbahan asid baru-baru ini, pada minit ketujuh perlawanan.

Selang dua minit kemudian kapten pasukan KDA Sony Norde, cuba menjaringkan gol namun tidak berjaya apabila dikawal pemain tengah Sharul Nazeem Zulpakar dari kiri padang, sebelum pemain Selangor FC Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh, turut mencuri peluang dalam keadaan kucar kacir di hadapan gawang minit ke-11, namun dinafikan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Pada minit ke-38, anak buah Mohd Nafuzi Mahammad Zain mempunyai peluang terbaik menyumbat gol pertama menerusi sepakan penjuru Sony, namun tidak dimanfaatkan pemain KDA yang turut menyaksikan Selangor hampir mendahului sebelum beberapa minit babak pertama tamat, namun tidak cukup kencang menembusi gawang pelawat.

Sebaik wisel separuh masa kedua dimulakan, kedua-dua pasukan dilihat mengatur strategi bijak sehingga pemain tengah Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau yang dibawa masuk pada minit ke-81 bagi menggantikan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol 'bermakna' buat Selangor pada minit ke-85.

Jaringan hasil umpanan Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh itu, disambut meriah penyokong Gergasi Merah dengan gaya ‘siu’ yang cukup sinonim dengan Faisal Halim yang menyarung jersi nombor tujuh, selain dilihat signifikan apabila Aliff Haiqal menyarung jersi nombor 77.

Di ISKANDAR PUTERI, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mempunyai masalah untuk menunjukkan ‘taring’ di laman sendiri, apabila menumpaskan Negeri Sembilan FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada pertembungan sebelah petang itu, pasukan Harimau Selatan membuka tirai jaringan menerusi tendangan Bergson Da Silva seawal minit ke-12, hasil hantaran Muhamad Feroz Baharudin diikuti gol kedua menerusi tendangan Bergson sekali lagi, empat minit kemudian.

Tenang mengatur strategi skuad Hobin Jang Hobin berjaya menjaringkan gol pertama minit ke-28 hasil tendangan Hein Htet Aung, selepas percubaan Takumi Sasaki digagalkan Muhamad Feroz Baharudin.

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terus berhempas pulas dengan melakukan serangan bertubi-tubi, sebelum JDT menjaringkan gol ketiga melalui tandukan kapten pasukan Jordi Amat, pada minit ke-71.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam, menyerahkan trofi Perlawanan Sumbangsih 2024-2025 kepada JDT.

JDT bergelar juara Sumbangsih buat kali ketujuh berturut-turut, selepas Selangor FC membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan pembukaan Liga Malaysia (Liga-M), yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei.

Di IPOH, Perak FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tumbang 2-3 kepada PDRM FC di Stadium Perak, malam ini.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuat kejutan menjaringkan gol pembukaan seawal minit sembilan, menerusi pemain pertahanan Tommy Mawat Bada, sebelum menyaksikan pasukan pelawat menggandakan asakan dan berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi Ifedayo Olusegun pada minit ke-24.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi serangan bertali arus, namun pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan, apabila Bruno Suzuki berjaya menolak masuk gol kedua pada minit ke-72, namun pemain gantian Perak Wan Zack Haikal kembali menceriakan 11,647 penyokong, apabila menyamakan kedudukan minit ke-88.

Ifedayo Olusegun menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan tuan rumah, apabila berjaya meledak gol pasukannya pada minit ke 90+12, sekali gus memberikan kemenangan kepada PDRM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan