AM

KONTRAK, MOU BERNILAI RM8.1 BILION BAKAL DIMETERAI DI DSA NATSEC ASIA 2024

05/05/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang bermula esok hingga 9 Mei, bakal menyaksikan pemeteraian kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM8.1 bilion.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media bersama hari ini berkata Kementerian Pertahanan akan memeterai kontrak dan MoU bernilai RM6 bilion, manakala RM2.1 bilion lagi membabitkan kontrak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kita akan mengadakan majlis menandatangani perjanjian pada Rabu dan memang ada beberapa kontrak dan perjanjian yang telah dikenal pasti. Bagi Kementerian Pertahanan lebih kurang RM6 bilion," kata Mohamed Khaled selepas meninjau persiapan terakhir pameran itu bersama Saifuddin Nasution di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

"Bagi pihak KDN pula lebih kurang RM2.1 bilion melibatkan 14 (kontrak) kesemuanya," kata Saifuddin Nasution.

Pada DSA dan NATSEC Asia edisi ke-17 dua tahun lepas, Kementerian Pertahanan memeterai 54 kontrak dan MoU bernilai RM4.6 bilion, manakala KDN menandatangani satu MoU dan lapan kontrak bernilai RM2.596 bilion.

Mohamed Khaled berkata seramai 400 orang kenamaan dan pegawai peringkat tinggi dari 50 negara dan wilayah termasuk menteri, timbalan menteri dan ketua-ketua angkatan tentera dijangka hadir pada DSA dan NATSEC Asia 2024 edisi ke-18 itu.

"Menteri yang akan hadir antaranya dari Brunei, Singapura dan Zimbabwe. Ada juga timbalan Menteri dari Indonesia, Thailand dan Slovakia. Ketua angkatan tentera antaranya dari Emiriah Arab Bersatu dan Qatar," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, pameran kali ini bakal menampilkan tiga pavilion baharu iaitu  DSA and NATSEC Asia Lab, Segmen Angkatan Masa Hadapan dan Pavilion Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), Dron dan Robotik.

"DSA dan NATSEC Asia Lab merupakan platform yang memberi peluang kepada perusahaan kecil serta syarikat pemula (startups) untuk mempromosikan inovasi mereka. Selain pavilion biasa, ini adalah beberapa perkara yang kami percaya mengikuti trend masa depan," katanya.

Segmen Angkatan Masa Hadapan pula memberi peluang kepada pempamer untuk menunjukkan alatan serta keperluan Future Forces sejajar dengan perkembangan teknologi dan peperangan moden, manakala Pavilion UAV, Dron dan Robotik memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempamer keupayaan, kecekapan dan reka cipta teknologi dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik dalam sektor pertahanan dan keselamatan.

Mohamed Khaled berkata secara keseluruhannya, DSA dan NATSEC Asia 2024 yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, menyaksikan penyertaan 1,324 syarikat daripada 60 negara sebagai pempamer, manakala 34 negara turut membuka pavilion masing-masing.

"Kita dapat lihat terdapat peningkatan dan kemajuan berbanding kali terakhir kita buat pada 2022," katanya sambil menambah segala persiapan disempurnakan dengan baik dan lancar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan