JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUBUH PASUKAN KHAS SIASAT KES SAMUN AKHYAR RASHID

05/05/2024 01:13 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Mei (Bernama) -- Polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek kejadian itu yang dipercayai lebih daripada dua orang.

"Polis juga telah membuat pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit, dua saksi juga dipanggil membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun Azli berkata setakat ini belum ada maklumat yang dapat membantu mengesan suspek.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menularkannya di media sosial bagi mengelak menganggu siasatan.

Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun pada Khamis lepas.

Sementara itu bekas Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohd Khairi Khairudin dilantik Ketua Polis Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang akan bertukar ke NADMA.

Mohd Khairi berkata beliau bertekad untuk mengekalkan keamanan dan memastikan kadar indeks jenayah yang rendah di Terengganu selain memperkukuh kerjasama serta jaringan hubungan dengan masyarakat.

"Saya juga akan menggunakan pengalaman ketika di NADMA untuk menguruskan bencana banjir di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan