AM

MCMC TAMBAH BAIK KEMUDAHAN UNTUK PENDUDUK KAMPUNG ORANG ASLI KERLING

04/05/2024 04:09 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil inisiatif menjalankan pembuktian konsep (POC) Starlink sebagai alternatif kepada gentian optik bagi sambungan teras ke menara Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kampung Orang Asli Kerling, Selangor.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan menyebut menerusi POC berkenaan, menara tersebut akan diaktifkan bermula Rabu ini (8 Mei) dengan menawarkan perkhidmatan daripada tiga syarikat telekomunikasi utama iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

“Perkhidmatan telekomunikasi ini akan memudahkan urusan harian penduduk bagi tujuan komunikasi, pendidikan dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan langkah tersebut diambil susulan terdapat keperluan kepada perkhidmatan telekomunikasi di perkampungan tersebut.

Kenyataan itu menyebut menara berkenaan telah siap pada tahun lepas dan kini dalam proses sambungan rangkaian gentian optik ke menara sebelum boleh diaktifkan dijangka pada suku pertama tahun depan.

Menurut MCMC pengaktifan menara itu kelak akan memberi manfaat kepada lebih 250 masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Kenyataan itu juga menyebut MCMC telah membuat tinjauan ke menara berkenaan diketuai Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC Bukhari Yahya bagi melihat kemajuan pelaksanaan di menara itu, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan