AM

DIPERCAYAI TERDAPAT GERAKAN TERSUSUN SEBAR MAKLUMAT PALSU DI MEDIA SOSIAL - FAHMI

17/05/2024 09:57 PM

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata adalah dipercayai bahawa terdapat gerakan tersusun daripada pihak tertentu untuk menyebarkan maklumat palsu di platform media sosial terutama Facebook bagi menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata bagaimanapun buat masa ini, Kementerian Komunikasi belum menerima apa-apa maklumat secara terperinci sama ada gerakan itu benar-benar tersusun atau wujudnya perikatan antara mereka yang terlibat.

Mengambil contoh isu resit restoran makanan segera tertera perkataan menghina Islam yang tular baru-baru ini, Fahmi berkata sekurang-kurangnya 15 akaun berbeza didapati menyebarkan gambar resit itu, bagaimanapun hantaran tersebut menggunakan ayat dan ejaan nama syarikat yang salah.

“Nampaknya ada pihak yang sengaja (wujudkan) sejumlah akaun palsu, mereka buat sebaran untuk menimbulkan rasa ketidaktenteraman dalam masyarakat.

“Saya telah minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) mengenal pasti dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memanggil individu yang dipercayai (terlibat) dalam sebaran maklumat palsu secara tersusun ini untuk dirakam percakapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 di sini hari ini.

Fahmi berkata kerajaan menerusi MCMC tidak memantau, merakam komen atau mesej perbualan pengguna dalam aplikasi WhatsApp seperti dakwaan pihak tertentu sebelum ini.

Beliau berkata aplikasi itu menggunakan teknologi penyulitan hujung ke hujung atau end-to-end encryption yang tidak membolehkan perbualan pengguna yang menggunakan aplikasi itu direkod.

“Perkara ini (dakwaan) pernah muncul dulu dan (kini) muncul sekali lagi... ia tidak benar,” katanya.

Fahmi juga berkata terdapat keperluan untuk mengadakan kempen keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan keluarga di peringkat kebangsaan, negeri serta daerah.

Beliau berkata kempen itu adalah perlu kerana walaupun terdapat garis panduan mengehadkan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah memiliki akaun media sosial namun tiada tindakan kukuh bagi menghalang mereka untuk membuka akaun masing-masing.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk syarikat telekomunikasi, PDRM dan kerajaan negeri untuk melaksanakan kempen di seluruh negara,” katanya sambil menambah program itu dijangka dilaksana pada Ogos tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan