AM

MISKIN TEGAR DI P. PINANG BAKAL DISELESAIKAN SEPENUHNYA HUJUNG MEI INI

03/05/2024 04:27 PM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Kadar kemiskinan tegar di Pulau Pinang dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya akhir bulan ini hasil usaha dan inisiatif kerajaan Persekutuan dalam menganjurkan pelbagai program termasuk mewujudkan kolaborasi strategik antara agensi.

Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Dr Syaharudin Shah Mohd Noor berkata menurut data unit berkenaan, terdapat 4,949 orang tergolong dalam kategori miskin tegar yang direkodkan setakat 31 Jan lepas.

“Namun, hasil daripada segala program mitigasi yang sedang dijalankan, jumlah tersebut telah berkurangan ke 117 orang setakat 24 April lalu, malah kita melihat perkembangan yang positif terus berlaku apabila ia kini menurun ke 45 orang.

“Kita jangka Pulau Pinang serta dua lagi negeri di wilayah utara iaitu Perak dan Perlis akan mencapai sifar miskin tegar menjelang akhir Mei ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi moderator sesi panel 'Wacana Sifar Miskin Tegar: Kitaran dan Dimensi' anjuran ICU Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Sesi panel itu merupakan satu daripada pengisian program yang diadakan bersempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini.

Terdahulu, ketika merumuskan sesi panel tersebut Syaharudin Shah berkata usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar bukan sesuatu yang retorik sebaliknya ia boleh dilaksanakan dengan kolaborasi dan koordinasi yang sistematik.

Beliau berkata langkah mitigasi pelbagai termasuk kolaborasi strategik antara agensi adalah untuk meminimumkan keciciran data atau pertindihan melampau semasa melaksanakan penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Mengulas mengenai kolaborasi strategik antara agensi, Ketua Bahagian Sinergi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Rahmat Ismail yang juga panelis dalam sesi sama berkata program Social Synergy yang ditadbir agensi itu merupakan inisiatif berasaskan kolaborasi strategik antara agensi berkaitan bagi mewujudkan ekosistem keselamatan sosial yang lebih komprehensif.

Beliau berkata sebagai contoh, Perkeso akan menggunakan data harian kemalangan jalan raya yang disalurkan Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti sekiranya pencarum terlibat dalam kemalangan terutama yang membawa maut.

Menurut Rahmat ia bagi memudahkan sebarang urusan bantuan kepada pencarum seperti pengurusan kematian yang perlu disegerakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan