JENAYAH & MAHKAMAH

REMAJA WARGA ASING DISYAKI MENYAMAR PEGAWAI POLIS DITAHAN

30/04/2024 08:43 PM

BALIK PULAU, 30 April (Bernama) -- Polis menahan seorang remaja lelaki warga asing yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis bagi memeras ugut dan menyamun pekerja asing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan pada 12.25 tengah malam tadi di depan sebuah premis mencuci kenderaan di Gelugor dekat sini dan polis turut merampas antaranya pisau, motosikal jenis Honda dan duit syiling berjumlah RM35.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang pekerja warga Myanmar baru-baru ini yang didatangi remaja terbabit dan mendakwa sebagai pegawai polis sebelum meminta pasport milik mangsa dalam kejadian di Bayan Baru.

"Suspek turut bertindak menumbuk muka lelaki itu sebelum mangsa melarikan diri selepas ternampak pisau dalam bakul motosikal ditunggang remaja berkenaan kerana bimbang dicederakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya hasil siasatan mendapati remaja terbabit dipercayai terlibat sekurang-kurangnya tiga kes menyamar sebagai polis dan memeras ugut mangsa membabitkan dua kes di daerah Barat Daya dan satu kes kes di daerah Timur Laut.

Jafri berkata remaja yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu direman enam hari hingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 394 dan 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan