SUKAN

KJ TAK TERFIKIR UNTUK KEMBALI KE FAM

26/04/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengakui tidak terfikir untuk kembali menabur bakti kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas namanya dikaitkan dengan jawatan presiden badan induk itu.

Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ yang juga bekas Timbalan Presiden FAM berkata terdapat calon-calon lain yang lebih layak untuk menerajui badan induk itu berbanding beliau.

Katanya menjadi Presiden FAM memerlukan seseorang itu bersikap ‘hands-on’ dan beliau ketika ini tidak mempunyai masa dan ruang untuk menjalankan tugas tersebut.

“Disebabkan fokus yang diberikan kepada bola sepak, dia (presiden) perlu jadi seorang yang sangat ‘hands on’ dan mungkin terpaksa layan pengurusan harian di FAM dan mungkin saya tiada waktu dan masa buat masa ini untuk ambil peranan tersebut.

“Saya suka ‘hands on’ kalau saya buat kerja dan saya tiada masa, saya rasa tak adil bagi FAM untuk saya cuba nasib dalam pemilihan FAM akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis Battle of the Reds Motivational Talk di sini, hari ini.

Sebelum ini, nama Khairy disebut-sebut sebagai calon presiden baharu FAM yang kini disandang Datuk Hamidin Mohd Amin sejak 2018 selepas timbul isu penyebaran ‘surat layang’ yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu.

Kongres Pemilihan FAM dijadual berlangsung tahun depan.

Pada masa sama, Khairy yang juga sebahagian daripada Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) merasakan sudah tiba masa berlakunya perubahan dalam FAM demi melihat pengurusan dan tatakelola yang lebih mantap.

Tanpa memburukkan kepimpinan sedia ada, beliau menyifatkan perubahan itu perlu demi kelangsungan kemajuan bola sepak negara secara menyeluruh untuk masa akan datang.

“Ini pandangan peribadi saya, mungkin sudah tiba masa untuk perubahan di FAM, saya rasa pengurusan yang sedia ada sudah buat kerja mereka tetapi oleh kerana kita nak melihat untuk lima hingga 10 tahun akan datang, saya rasa sudah tiba masa untuk ada peralihan di FAM,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Dalam pada itu, majlis hari ini menyaksikan kira-kira 200 peminat berpeluang melihat secara dekat dan bergambar kenangan bersama barisan legenda dua kelab Inggeris Manchester United dan Liverpool.

Dalam majlis yang berlangsung kira-kira dua jam itu, barisan legenda Manchester United yang hadir ialah Wes Brown, Dimitar Berbatov, Danny Webber dan Paul Rachubka manakala legenda Liverpool ialah John Arne Riise, Luis Garcia, Vladimir Smicer dan Steve McManaman.

Majlis itu sempena perlawanan ‘Battle of the Reds’ antara legenda Manchester United dan Liverpool di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam esok.

Battle of the Reds disokong oleh Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan FAM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan