BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 AM

TENGKU ZAFRUL MAHU BERI TUMPUAN KEPADA MITI

02/05/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hanya berminat memberikan tumpuan kepada kementeriannya selepas namanya dikaitkan dengan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata ketika ini tumpuannya lebih terarah kepada memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjalan lancar.

“Ada yang maklumkan kepada saya malam semalam timbul ura-ura, ada beberapa nama dicadangkan dan dibincangkan (sebagai presiden FAM) di media massa.

“Bagi saya, sebagai menteri, saya memang banyak tanggungjawab yang perlu dilunaskan dan fokus saya ialah ke arah memastikan pelaksanaan di MITI berjalan lancar,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Bernama 2024 di Wisma Bernama di sini hari ini.

Pada masa sama tengku Zafrul mengakui beliau sudah lama meninggalkan dunia korporat dan merasakan individu lain lebih layak perlu dicalonkan untuk jawatan tertinggi FAM itu.

“Memang saya dalam dunia korporat lebih kurang 20 tahun dengan di hujungnya menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) CIMB...jadi memang pengalaman korporat itu ada. Cuma sekarang saya dah beralih dari kehidupan korporat, sekarang saya dalam kerajaan, jadi fokus saya pastinya memberi lebih banyak masa kepada kerja di MITI,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan tiga nama individu daripada dunia korporat termasuk Tengku Zafrul dilihat sesuai untuk memimpin FAM sebagai salah satu langkah mentransformasikan badan induk itu ke tahap yang lebih tinggi.

Dua lagi tokoh korporat yang dinamakan ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.

“Saya percaya banyak lagi calon yang bagus, (contohnya) Kapten Izham dan Tan Sri Mohamad Salim dan seperti yang disebut sebelum ini KJ (Khairy Jamaluddin) yang pernah terlibat dalam FAM,” katanya yang meletak jawatannya di CIMB pada Mac 2020 susulan dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Untuk rekod, Tengku Zafrul dilantik sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan hasrat untuk berundur pada penghujung tahun lepas sebelum membuat pusingan U untuk kekal menerajui persatuan itu sehingga hari ini.

Sementara itu, Mohamad Salim ketika ditemui di sini, enggan mengulas berhubung namanya dikaitkan dengan jawatan presiden FAM.

Sebelum ini, Khairy disebut-sebut sebagai calon untuk jawatan tertinggi FAM yang disandang Datuk Hamidin Mohd Amin sejak 2018, susulan isu penyebaran ‘surat layang’ yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu.

Kongres FAM dijadual berlangsung tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan