AM

FAMA MELAKA GALAK USAHAWAN BAHARU JUAL PRODUK DI PASAR TANI

04/05/2024 01:12 PM

MELAKA, 4 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menggalakkan penyertaan usahawan baharu memasarkan produk jualan terutamanya makanan di sembilan lokasi pasar tani yang beroperasi di negeri itu bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan.

Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata sehingga kini, sebanyak 264 usahawan berdaftar dengan agensi itu dan terlibat memasarkan hasil mereka di pasar-pasar tani di negeri berkenaan membabitkan jualan RM1.67 juta.

"Jumlah usahawan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dengan penambahan dua lokasi baharu iaitu di Ayer Molek dan Taman Maju Jasin, selain tujuh lokasi sedia ada dan setiap pasar tani juga mempunyai jumlah usahawan berbeza bergantung kepada tempat dan populasi penduduk di kawasan terbabit.

"Menerusi penglibatan secara langsung usahawan dalam pasar tani ini ia memberi peluang kepada mereka memperluas pasaran hasil pertanian dan produk asas tani di samping membantu menambah pendapatan selain menyediakan akses kepada pengguna mendapatkan bekalan pada kualiti dan harga yang munasabah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelancaran pembukaan Pasar Tani Ayer Molek yang beroperasi setiap Sabtu bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari bermula 6 April lepas.

Nor Azhar berkata sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan kehadiran 1,000 pengunjung dengan nilai jualan RM30,000 melibatkan 30 usahawan di pasar tani itu dan berharap operasi di situ terus berkembang maju selain menerima sambutan daripada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata bersempena dengan pembukaan Pasar Tani Ayer Molek itu, FAMA juga mengadakan jualan promosi antaranya telur ayam RM10 sepapan, set Kombo MADANI iaitu minyak, tepung, gula dan bihun (RM10), daging segar (RM31), ayam standard (RM12 seekor), beras putih tempatan lima kilogram (RM13) dan jualan produk Agromas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan