POLITIK

PANG SOCK TAO CALON KERAJAAN PERPADUAN BAGI PRK KUALA KUBU BAHARU 

24/04/2024 11:37 PM

HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan bagi PRK berkenaan, di sini malam ini.

Terdahulu, majlis pengumuman calon bermula dengan bertafakur selama seminit bagi memberi penghormatan kepada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak semalam.

Loke berkata pemilihan Pang, 31, dipersetujui kepimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang memberi peluang kepada DAP untuk mempertahankan kerusi itu.

"Calon main peranan penting. Dalam memilih calon, ada beberapa pertimbangan, faktor yang diambil kira antaranya pengalaman, kelayakan akademik dan pengetahuan," katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah pimpinan tertinggi DAP antaranya Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Steven Sim Chee Keong serta Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Selain itu, turut hadir pimpinan UMNO antaranya Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ketua Wanita Datuk Seri Noraini Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei mankala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada Sabtu ini dan 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58,  pada 21 Mac akibat kanser.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Sementara itu, Pang, Setiausaha Akhbar kepada Nga Kor Ming merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti di atas kepercayaan menamakan dirinya sebagai calon bagi Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun saya baru berusia 31 tahun, saya sudah menceburi dalam bidang politik selama enam tahun.

"Saya percaya dengan pengalaman (yang dimiliki) akan memberi inspirasi kepada saya untuk membawa pembangunan positif di Kuala Kubu Baharu," kata anak kelahiran Ampang, Selangor, itu ketika berucap selepas diumumkan sebagai calon.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), anak jati Selangor itu bertekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selain mahu meneruskan legasi cemerlang mendiang Lee.

Dalam kerjaya, Pang pernah menjadi Penolong Penerbit Ubah TV di Ibu Pejabat DAP pada 2017-2018, pegawai khas kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (2018-2020) sebelum kembali ke Ubah TV sebagai penerbit (2020-2022).

Beliau juga pernah menjadi pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Dis 2022-Jan 2024) sebelum dilantik menjadi setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan