AM

PRK KKB: CALON PH, PN LUANG MASA ZIARAH KELUARGA MANGSA LEMAS BATANG KALI

05/05/2024 08:52 PM

HULU SELANGOR, 5 Mei (Bernama) -- Dalam kesibukan berkempen, dua calon yang bersaing bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini sempat meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa lemas Sungai Balak, Batang Kali di Hospital Kuala Kubu Baharu, di sini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao bergegas ke hospital berkenaan selepas menerima berita sedih itu yang mengorbankan seorang bapa dan dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun.

Beliau yang tiba kira-kira 4.55 petang, meluangkan masa sekitar 15 minit bertemu isteri mangsa, Azimah Azahar, 38.

Pang, 31, dalam catatan menerusi Facebook berharap Azimah tabah menghadapi dugaan atas pemergian suami dan dua anaknya.

“Pihak saya akan membantu meringankan beban keluarga seberapa mampu yang boleh. Semoga roh mereka yang pergi dicucuri rahmat Tuhan,” katanya.

Turut menziarahi waris keluarga berkenaan ialah calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang tiba di hospital berkenaan kira-kira 5.30 petang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataan berkata mayat kesemua mangsa ditemukan pada 1.30 tengah hari oleh orang awam.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan