EKONOMI

MITI: RM58.91 JUTA DIAGIHKAN KEPADA PKS PADA SUKU PERTAMA BAGI AUTOMASI DAN PEMODENAN

24/04/2024 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), telah mengagihkan sejumlah RM58.91 juta kepada 17 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada suku pertama 2024 bagi automasi dan pemodenan.

Jumlah peruntukan bagi pinjaman mudah itu ialah sebanyak RM150 juta untuk 30 syarikat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan, kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Selain itu, terdapat geran padanan disediakan untuk PKS aeroangkasa bumiputera.

“Sasaran adalah 30 syarikat dengan jumlah peruntukan RM150 juta. Sehingga suku pertama tahun ini, RM8 juta telah diagihkan kepada lima PKS,” katanya pada sidang media mengenai Kad Laporan Suku Pertama, MITI, di sini, hari ini.

Bagi Dana Intervensi Industry4WRD (IIF), beliau berkata, setakat 31 Mac, 2024, 401 permohonan daripada PKS Malaysia telah diluluskan, dengan jumlah nilai geran sebanyak RM149.1 juta.

IIF berfungsi sebagai kemudahan sokongan kewangan untuk PKS Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0.

Tiga kelulusan teratas adalah untuk pembuatan makanan (78 PKS), produk plastik (51), dan mesin dan peralatan (40).

Dari segi negeri, tiga yang teratas ialah Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan masing-masing sebanyak 165, 70 dan 53 PKS.

Tengku Zafrul juga berkata MITI membantu PKS dalam usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka melalui mekanisme penilaian kendiri.

Sehingga kini, sebanyak 702 daripada 1,000 syarikat yang disasarkan bagi 2024 telah menerima bantuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan