JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu, Anak Lelaki Didakwa Simpan Lembu Curi

30/06/2026 05:00 PM

PASIR PUTEH, 30 Jun (Bernama) -- Seorang ibu dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan lembu curi di Kampung Kandis Telong, Bachok awal tahun ini.

Siti Wan Safiah Afizah Mohammed, 44, dan Abdul Aziz Syakir Nor Azhar, 23, didakwa atas satu pertuduhan secara bersama menyimpan harta curi berupa tiga ekor lembu milik seorang individu yang dilaporkan hilang di Pasir Puteh apabila kedua-dua tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa haiwan tersebut merupakan harta curi.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kandis Telong, Bachok pada 3 pagi, 17 Jan lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Razali menawarkan jaminan RM10,000 manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hafilah Hamzah merayu jaminan minimum.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Abdul Aziz Syakir yang bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah syarikat swasta juga mengaku tidak bersalah atas tujuh lagi pertuduhan mencuri masing-masing seekor lembu milik tujuh individu di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, Nik Mohd Fadli membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan