AM

GSK SOKONG KEPENTINGAN IMUNISASI DEWASA DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA

24/04/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kepentingan terhadap imunisasi dewasa menjadi semakin ketara pada ketika penduduk Malaysia beralih kepada demografi yang semakin berusia.

Bagi menyokong kepentingan imunisasi dewasa dalam kalangan rakyat Malaysia dan sempena Minggu Imunisasi Sedunia 2024 bermula hari ini hingga 30 April, GlaxoSmithKline (GSK) menganjurkan wacana yang tepat pada masanya, menghimpunkan pakar tempatan dan global untuk berkongsi perspektif mereka tentang landskap vaksin yang semakin berubah, faedah vaksin kepada orang dewa yang lebih tua dan nilai sosioekonomi imunisasi dewasa.

GSK dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara terbabit turut menampilkan perbincangan panel tempatan, perbahasan dan perkongsian yang luas dalam memperlihatkan keberkesanan pencegahan penyakit cegahan vaksin (VPD) dalam kalangan orang dewasa Malaysia, cabaran utama yang dihadapi oleh industri penjagaan kesihatan serta peluang untuk membangunkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan dalam peralihan ke arah masyarakat semakin berusia yang lebih sihat di negara ini.

Pengarah Perubatan Vaksin GSK Malaysia Dr Thanabalan Fonseka dalam kenyataan berkenaan memaklumkan inisiatif imunisasi kanak-kanak di sekolah dan dalam komuniti sudah mantap dengan kadar liputan yang tinggi.

“Berbeza dengan situasi ini, cabaran utama berhubung dengan vaksinasi golongan dewasa terletak pada kurangnya kesedaran tentang VPD dan pilihan pencegahannya. 

“Akibatnya ramai orang dewasa masih tidak menyedari pentingnya mengemas kini vaksinasi yang terkini atau mungkin secara tidak sengaja terlepas pandang cadangan untuk suntikan penggalak atau vaksin yang baharu yang boleh didapati apabila mereka semakin berusia,” katanya. 

Beliau berkata halangan logistik seperti akses yang terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kekangan kewangan terus menjejaskan kadar vaksinasi dewasa.

Sehubungan itu, beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran, menambah baik kebolehcapaian serta menekankan betapa mustahaknya memberikan keutamaan terhadap vaksinasi dewasa bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadpa penyakit yang boleh dicegah sepanjang masa dewasa. 

“Masyarakat perlu beralih daripada 'penjagaan sakit’ kepada penjagaan kesihatan pencegahan sebenar untuk menjadikan imunisasi dewasa sebagai standard penjagaan dengan membina kepercayaan terhadap nilai vaksinasi dewasa dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah individu berusia 65 tahun dan ke atas semakin meningkat dengan kira-kira 2.5 juta orang termasuk dalam kategori berkenaan.

DOSM juga mengunjurkan bahawa Malaysia akan mempunyai jumlah yang hampir sama daripada golongan muda (18.6%) dan golongan berusia (14.5%) pada tahun 2040. Hal ini bermakna dalam tempoh kurang 2 dekad, golongan berusia akan melepasi 6.0 juta, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai masyarakat yang berusia. 

Semasa Minggu Imunisasi Sedunia, GSK bersatu secara global untuk menekankan betapa mustahaknya imunisasi dewasa, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang kelebihan kesihatan, struktur dan sosioekonomi meluas yang berpunca daripada penggunaan ekstensif vaksin dewasa untuk setiap individu di seluruh dunia.

Dengan kerjasama pihak berkepentingan merentas industri, GSK menetapkan sasaran untuk menyokong Program 50 tahun Perluasan Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk melakukan apa-apa yang boleh dilakukan secara manusia, iaitu menyelamatkan nyawa melalui imunisasi. 

Menurut kenyataan itu, dengan satu daripada portfolio vaksin yang paling luas di seluruh dunia, GSK komited untuk melindungi individu daripada semua peringkat umur, termasuk orang dewasa yang lebih tua dan membentuk semula dasar berhubung dengan imunisasi dewasa untuk kekal berada di hadapan dan meneruskan momentumnya untuk memainkan peranan dalam penambahbaikan kesihatan awam di Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan