AM

INSIDEN BONGKAH BATU: HANYA PUSAT PELANCONGAN QING XIN LING DITUTUP SETAKAT INI

19/04/2024 08:05 PM

IPOH, 19 April (Bernama) -- Hanya Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling ditutup sementara susulan seorang lelaki tempatan maut akibat ditimpa batu di pusat pelancongan itu baru-baru ini, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin. 

Beliau berkata setakat ini tiada lokasi tumpuan pelancong lain khususnya di kawasan kaki bukit yang ditutup dan masih beroperasi seperti biasa. 

"Memang Qing Xin Ling sahaja yang ditutup sementara operasinya setakat ini, kita ikut arahan semasa yang dikeluarkan kerajaan negeri jadi yang lain-lain masih beroperasi seperti biasa hingga pekeliling dikeluarkan. 

"Kita dukung apa yang disarankan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkaitan isu ini dan juga pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangan Duit Raya Anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) B40 dan Anak Yatim dekat sini.

Pada 8 April lepas, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun maut akibat ditimpa batu di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi.

Susulan itu, kawasan pelancongan berkenaan ditutup sementara hingga laporan penuh insiden itu disiapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Saarani dalam kenyataan sebelum ini menyatakan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan kerana ia berisiko mengancam nyawa, dan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak akan menilai dari semua sudut kelak.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata proses naik taraf lokasi perniagaan popular Gerbang Malam bagi pembinaan struktur fasa kedua akan bermula Jun ini.

"Setakat ini proses sebut harga telah ditutup dan kita akan melantik kontraktor untuk mulakan kerja-kerja naik taraf yang dijangka pada Jun.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM500,000 dan RM250,000 lagi diperuntukkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk fasa kedua ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan