AM

MDGM LAKSANA PEMBANGUNAN, PENYELENGGARAAN BAGI TARIK PENGUNJUNG KE GUA MUSANG

01/05/2024 01:46 PM

GUA MUSANG, 1 Mei (Bernama) -- Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) telah menerima RM1.2 juta daripada RM2.7 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri Kelantan sehingga bulan lepas untuk pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur serta prasarana di jajahan itu.

Yang Dipertua MDGM Nik Raisnan Daud berkata peruntukan itu bagi melaksanakan pembangunan strategik antaranya menaik taraf kawasan rekreasi Sungai Ketil, Taman Tasik Ketitir dan Dataran Dato’ Kaya Setia yang menjadi tumpuan orang awam di bandar itu.

“MDGM kini sedang menyediakan kemudahan prasarana khususnya kemudahan eko-pelancongan bagi menarik lebih ramai orang berkunjung ke Gua Musang sempena Tahun Melawat Kelantan 2024,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu MDGM turut membina dan menyelenggara jalan-jalan kampung untuk kemudahan masyarakat setempat.

Nik Raisnan berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti kampung yang tidak mempunyai lampu jalan untuk dibekalkan dengan lampu solar bagi menerangi kawasan persekitaran sekali gus menjamin keselamatan penduduk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan