AM

ISU RAKYAT, KEMISKINAN TEGAR ANTARA KOMITMEN KERAJAAN MADANI BERTERUSAN - PM

02/05/2024 11:28 PM

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas adalah komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk diselesaikan terutama di Kelantan.

Beliau berkata perkara itu seboleh-bolehnya diselesaikan dengan segera agar tidak terus membelenggu pihak terkesan.

“Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan membantu mana-mana kerajaan negeri.

“Perkara itu saya bangkitkan sewaktu menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan yang buat kali pertama dipengerusikan saya dalam membincangkan penyelesaian isu-isu pembangunan di Kelantan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini malam ini.

Anwar berkata usaha Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri Kelantan membabitkan keseluruhan pegawai kanan kerajaan yang hadir ke taklimat itu antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau juga meminta kerajaan negeri dan kementerian berkaitan memfokus kepada usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan yang dijangka diselesaikan dalam tempoh dua bulan. 

“Oleh itu, saya berharap semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian secara khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan serta pelaksanaan projek-projek di Kelantan ini dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Perdana Menteri berkata projek terbabit adalah inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka panjang.

“Antara projek yang menjadi keutamaan di negeri Kelantan adalah penambahbaikan sistem pengairan di kawasan pertanian Kemubu.

“Oleh itu, saya bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu ini yang dijangka melibatkan kos sebanyak RM20 juta,” katanya.

Anwar berkata RM20 juta itu akan diguna untuk membeli paip baharu bagi menyedut air untuk kegunaan rakyat dan pertanian di Kelantan.

“Hubungan Kerajaan Persekutuan bertambah akrab dengan Kerajaan Negeri Kelantan melalui majlis raya... oleh itu, kita mestilah mengetepikan perbezaan politik dan menumpukan (kepada) masalah rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga berhasrat untuk menoktahkan baki lebih 1,000 Ketua Isi Rumah dalam kategori miskin tegar di Kelantan dalam tempoh dua bulan lagi.

“Saya mahu menoktahkan kemiskinan tegar berkenaan bagi membolehkan mereka mampu membeli makanan dan pakaian… oleh itu, saya minta senarai dalam kategori ini,” katanya.

Beliau berkata Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Azman Ibrahim memaklumkan bahawa perkara itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Kelantan kerana tidak mahu negeri itu ketinggalan daripada Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor yang dapat menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan