SUKAN

90 PEMAIN AMATUR DIJANGKA SERTAI KEJOHANAN GOLF REMAJA RSGC-SPORTEXCEL

17/04/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel edisi kesembilan dijangka disertai kira-kira 90 pemain bakat muda amatur dari dalam dan luar negara di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di sini dari 14 hingga 16 Mei ini.

Pengerusi penganjur Ezani Abu Bakar berkata setakat ini 65 pemain terutamanya dari Malaysia serta Indonesia, Singapura, India, Korea Selatan, Australia dan Britain telah mendaftar untuk acara yang mendapat pengiktirafan Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

“Kami menjangkakan lebih ramai pemain akan mendaftar dalam beberapa minggu akan datang terutamanya dari negara seperti Thailand dan rantau Indo-China,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya kejohanan kali ini akan menyaksikan cabaran  oleh 19 pemain daripada Program Pembangunan Remaja Persatuan Golf Malaysia (MGA) manakala jemputan turut disampaikan kepada pemain elit SportExcel, juara negeri dan kelab dan pemain utama serantau.

Kejohanan kali ini akan menyaksikan empat kategori iaitu 16 hingga 18 tahun dan Bawah 15 Tahun bagi lelaki dan perempuan dengan yuran pendaftaran ditetapkan pada kadar RM420 untuk pemain tempatan dan US$130 (RM620) untuk pemain asing.

Pemain lelaki dan perempuan terbaik negara dalam kejohanan ini akan layak untuk beraksi di kejohanan remaja serantau di Asia Tenggara dengan kos termasuk penginapan dan tiket penerbangan dibiayai oleh penganjur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan