SUKAN

FAM SAMBUT BAIK TAWARAN TUNKU ISMAIL NAMUN TETAP PANTAU SNBJ

17/04/2024 06:33 PM

PETALING JAYA, 17 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik dan menghargai perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menyumbangkan rumput baharu jenis hibrid untuk digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata satu penilaian sewajarnya akan dilakukan sekiranya padang berkenaan sesuai digunakan pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan pada 11 Jun ini.

Ia berikutan beliau difahamkan padang keramat Harimau Malaya itu bakal dijadikan venue bagi satu konsert dalam masa terdekat. 

“Kita memang berlapang dada dan bersyukur dengan padang pemberian Tunku Ismail.  Pada saya perlawanan menentang Taiwan itu mustahak, jadi mungkin teknologi baharu diperkenalkan dan dihadiahkan Tunku Ismail dapat membantu (bagaimanapun) kita akan buat lawatan dan tiada kompromi. 

“Kalau padang boleh digunakan (baru) guna sebab pemain adalah keutamaan kami. Kita tidak mahu pemain cedera kerana ini adalah periuk nasi mereka, jadi FAM mesti mengambil tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd Firdaus berkata demikian selepas majlis pelancaran bola rasmi untuk kejohanan kendalian FAM di Wisma FAM di sini hari ini. 

Ditanya sekiranya terdapat venue pilihan berada dalam pertimbangan badan induk itu, Mohd Firdaus berkata Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu berada dalam senarai pertimbangan.  

“Sebelum ini pun kita pernah gunakan dua stadium itu jadi pada saya tidak ada masalah. Saya lebih pentingkan kemenangan kalau kita boleh menang Kyrgyzstan (di Bishkek pada 6 Jun), perlawanan Taiwan itu jadi penentu,” katanya. 

Mohd Firdaus yakin anak buah Kim Pan Gon merupakan pemain terbaik namun faktor padang mungkin menjadi satu daripada punca aksi kurang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. 

Menurut hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook JOHOR Southern Tigers semalam, Tunku Ismail menyumbangkan rumput jenis hibrid bagi menggantikan rumput Zeon Zoysia untuk kegunaan padang SNBJ.

Inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John hari ini.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Kualiti rumput di ‘rumah’ Harimau Malaya itu kerap menjadi topik hangat kerana beberapa kali berada pada tahap tidak memuaskan selepas penganjuran konsert, terutama sebelum aksi final Piala Malaysia 2023 dan beberapa perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan. 

Masalah yang berlarutan itu menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas melibatkan persediaan konsert di padang SNBJ sehingga kondisi rumput mencapai tahap baik.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan