EKONOMI

HUAWEI MALAYSIA JANGKA PENERIMAGUNAAN 5.5G DALAM KALANGAN INDUSTRI

17/04/2024 10:20 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) membayangkan potensi transformatif teknologi 5G-Maju (5.5G) dan pelaksanaannya yang akan datang dalam kalangan industri utama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata teknologi 5.5G tidak disasarkan kepada pengguna individu, tetapi menyediakan keupayaan sambungan yang lebih besar dan boleh memanfaatkan banyak industri penting di negara ini seperti sektor pembuatan.

“Teknologi 5.5G, berbanding dengan 5G, adalah 10 kali lebih pantas, menyokong 10 kali lebih sambungan dan mempunyai kependaman yang rendah. Kita perlu membawa kemudahan digital termaju ini dalam negara, terutama untuk manfaat industri utama bagi meningkatkan kecekapan operasi serta kemampanan.

“Sebagai contoh di beberapa kilang sebelum ini, ramai orang atau tenaga kerja digunakan untuk menyemak kualiti. Tetapi kini dengan 5.5G, kamera kecerdasan buatan definisi tinggi boleh menganalisis dan memberi arahan kepada barisan pengeluaran secara serentak.

“Ini akan menjadi pengubah keadaan. Tanpa asas ini dan kesalinghubungan yang baik dalam industri sebagai pengupaya, kecekapan operasi yang dipertingkat, yang turut membawa kepada kemampanan, tidak akan berlaku,” katanya kepada Bernama.

Sun berkata 5.5G mendedahkan banyak kemungkinan aplikasi, misalnya kelajuan dan kependaman rendah akan menawarkan kebolehan yang maju, boleh dikatakan masa nyata untuk sistem navigasi dalam kenderaan.

“Dengan 5.5G, kita mempunyai teknologi radar gelombang milimeter yang boleh membantu mengesan objek apabila kita mengendalikan kenderaan dalam keadaan cuaca yang sangat buruk seperti berkabus, cahaya malap atau asap tebal,” katanya.

Baru-baru ini, Huawei Malaysia dan Maxis Bhd memeterai memorandum persefahaman untuk melaksanakan program mempercepat 5.5G.

Menurut Sun, kerjasama dengan Maxis menawarkan kes penggunaan yang boleh diserah secara komersial bagi kemajuan teknologi 5.5G terkini, dan bukan sekadar bukti konsep daripada makmal.

"Apa yang anda lihat (dalam kerjasama ini) adalah apa yang anda akan alami di pasaran," katanya.

Kerjasama ini akan merangkumi beberapa bidang untuk memacu pengkomersialan dan penerimagunaan di Malaysia, merangkumi kes penggunaan, teknologi utama, evolusi teknologi dan ekosistem.

Kedua-dua syarikat akan meneroka inisiatif untuk menggalakkan penerimagunaan dan memudahkan migrasi, memperlihatkan manfaat serba boleh 5.5G hujung ke hujung, keselamatan dan keteguhan menerusi percubaan dan ujian serta mempercepatkan lagi penerimaan teknologi.

Melangkah ke hadapan, Sun berkata Huawei Malaysia akan terus aktif meneruskan strategi tenaga hijau,  memfokuskan kepada teknologi penyongsang solar, pusat data serta teknologi dan komponen untuk industri kenderaan elektrik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan