EKONOMI

BURSA MALAYSIA, MOBILIST DARI UK BEKERJASAMA TINGKAT PELABURAN PERALIHAN TENAGA

16/04/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menjalin kerjasama dengan program Mobilising Institutional Capital Through Listed Product Structures (MOBILIST) dari United Kingdom (UK) bagi meningkatkan pelaburan dalam peralihan tenaga selain melonjakkan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) di Malaysia.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata kerjasama itu turut mengukuhkan usaha bursa bagi memacu inovasi, keutamaan ESG dan kewangan mampan bagi kemajuan pasaran modal dan ekonomi Malaysia.

“Bersandarkan komitmen sebanyak £156 juta atau bersamaan kira-kira RM1 bilion, program MOBILIST menyasarkan untuk memangkin pelaburan merentasi infrastruktur lestari, kewangan iklim dan keterangkuman di peringkat global.

“Malah, menerusi produk-produk kewangan boleh skala, program ini dijangka dapat menggerakkan aliran modal institusi yang signifikan ke dalam pasaran sedang pesat membangun serta lingkungannya,” katanya dalam ucapan perasmian di majlis pemeteraian memorandum persefahaman di sini, hari ini.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, berkenan berangkat dan menyaksikan majlis itu.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry.

Abdul Wahid berkata program MOBILIST yang juga inisiatif kebanggaan kerajaan UK, berperanan sebagai platform transformatif yang membolehkan perniagaan tempatan mendapat akses penyelesaian rintis pelaburan dengan mengetengahkan SDG.

“Di bawah usaha memudahcara akses ke atas modal diperlukan melalui program ini, kami menyediakan platform bagi perniagaan mengembangkan lagi operasi serta meningkatkan sumbangan kepada kemajuan ekonomi yang mampan,” katanya.

Beliau berkata selain akses modal institusi, kerjasama itu turut menyediakan laluan jelas untuk syarikat Malaysia di bawah program MOBILIST untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Kerjasama ini akan menyediakan syarikat Malaysia terpilih dengan bantuan teknikal yang diperlukan bagi sepanjang perjalanan untuk penyenaraian.

“Kami yakin penerbit kukuh yang melaksanakan usaha pengumpulan dana di bawah teraju program MOBILIST ini mampu menyerlah selain dapat menarik minat pelabur dan pihak berkepentingan yang memberi fokus terhadap pertumbuhan mampan serta inklusif," kata Abdul Wahid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan