EKONOMI

CTOS, AIRASIA ACADEMY BEKERJASAMA PERKASA PKS MELALUI PENDIDIKAN PERNIAGAAN STRATEGIK

16/04/2024 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Agensi pelaporan kredit terkemuka Malaysia, CTOS Data Systems Sdn Bhd dan airasia academy bekerjasama bagi memperkasakan kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kemahiran untuk berjaya dalam mengharungi era digital.

Kerjasama itu, merangkumi pendidikan perniagaan strategik dalam bidang pemasaran dan penjenamaan digital, serta peluang pembinaan rangkaian, menyasarkan 2,000 pelanggan dalam ekosistem CTOS yang berpotensi untuk menjadi penuntut di airasia academy menjelang hujung tahun ini.

Justeru, CTOS hari ini memperkenalkan semula perkhidmatan CTOS Verified yang dipertingkatkan, membolehkan PKS meneroka kepentingan teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Operasi (COO) CTOS Data Systems  Lee Shin Mei berkata CTOS Verified menawarkan syarikat PKS tanda kredibiliti dalam talian melalui CTOS Verified Seal.

“Dengan perkhidmatan CTOS Verified, syarikat (PKS) boleh memasarkan dan mengeluarkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas. Itulah yang kami ingin lakukan dengan akademi airasia,” katanya kepada pemberita pada sesi rangkaian PKS dan edutech di kuarters latihan akademi airasia di sini hari ini.

Lee dalam pada itu berkata kira-kira 30 PKS telah mendaftar untuk perkhidmatan CTOS Verified sejak ia diperkenalkan bulan lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan CTOS Digital Bhd Erick Hamburger berkata perkhidmatan penyediaan latihan adalah penting agar PKS kekal tangkas, berdaya saing dan mampan dalam landskap perniagaan yang dinamik hari ini.

“Bagi menghadapi cabaran masa depan, CTOS komited untuk menyediakan rangkaian dan peluang pembelajaran yang sewajarnya melalui perkhidmatan CTOS Verified yang bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan tetapi juga menekankan kredibiliti dan kebolehpercayaan mereka kepada bakal pelanggan, pembekal dan rakan kongsi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, CEO Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata pendidikan merupakan kunci kepada peluang tanpa had.

“Sejak kewujudannya, airasia academy gigih berusaha untuk mendemokrasikan pendidikan, menawarkan kursus dalam talian dan bersemuka yang mampu merapatkan jurang keperluan ekonomi digital.

"Melalui kerjasama dengan CTOS ini, kami menjangkakan ia dapat mengupayakan PKS yang menerima CTOS Verified dan komuniti perniagaan yang meluas dengan kelengkapan yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kecekapan mereka dalam teknologi yang penting untuk landskap perniagaan yang kini dikuasakan secara digital," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan