DUNIA

SUMBANGAN CHINA TERHADAP PEMBANGUNAN, KEMAKMURAN DUNIA MENGAGUMKAN – PM ANTIGUA DAN BARBUDA

16/04/2024 03:24 PM

BEIJING, 16 April (Bernama-CMG) -- Sumbangan China terhadap kedamaian dan kemakmuran dunia amat mengagumkan, kata Perdana Menteri Antigua dan Barbuda, Gaston Browne.

Beliau berkata sumbangan itu didorong dengan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan yang dianjurkan oleh Presiden Xi Jinping. 

“Dalam tempoh 10 tahun lepas, China menghulurkan bantuan besar kepada negara-negara membangun, membantu mereka meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang supaya rakyat dapat keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa diwawancara CGTN di Beijing baru-baru ini. 

Browne ialah pemimpin negara pertama dari Amerika Latin dan Caribbean yang melawat China pada tahun ini dan beliau turut menyaksikan perasmian kedutaan besar negaranya di China.

Antigua dan Barbuda antara negara dari Caribbean Timur yang paling awal menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.

Dalam tempoh 41 tahun sejak terjalinnya hubungan diplomatik, kedua-dua negara saling menghormati, sokong-menyokong dan menjadi teladan baik bagi kesamarataan dan kerjasama menang-menang antara negara besar dengan negara kecil.

Browne pada masa sama menyifatkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sebagai amat baik. 

"Banyak negara tidak dapat memperoleh dana untuk menyokong pembangunannya sekiranya tiada platform pengumpulan dana yang dibina oleh China. 

"Walaupun China bukan negara paling kaya di dunia, tetapi negara itu sentiasa berkongsi dengan negara lain. China komited mengembangkan ekonomi untuk membolehkan rakyatnya mengatasi kemiskinan.

“China juga mencapai kejayaan yang luar biasa dalam tempoh empat dekad lalu di samping berkongsi pengalaman dan membantu negara-negara lain untuk mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan mewujudkan kemakmuran bersama sejagat," kata beliau.

Antigua dan Barbuda telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) BRI dengan China pada 2018, menjadikan Antigua dan Barbuda negara pertama dari Caribbean yang menandatangani MoU tersebut dengan China. Langkah ini memberikan manfaat yang benar kepada rakyat kedua-dua negara.

Menurut Browne, pelbagai projek tidak dapat dibina dengan berjaya di negaranya tanpa pinjaman mudah dan bantuan dalam pelbagai bentuk yang disediakan oleh China.

Beliau berkata konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan yang dikemukakan oleh Presiden Xi memang hebat dan memberikan manfaat yang benar kepada negara-negara membangun.

--BERNAMA-CMG 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan