AM

KERJASAMA ANTARA KOPERASI CIPTA PELUANG PENDAPATAN KEPADA USAHAWAN KECIL - EWON

01/04/2024 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan kerjasama sesama koperasi di negara ini bagi membangunkan lebih banyak peluang pendapatan kepada usahawan kecil termasuk melalui penganjuran bazar dan tamu desa.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata ia juga selaras dengan usaha kementerian itu membangunkan jaringan komunikasi antara pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Komuniti PMKS ialah tonggak kepada ekonomi negara, menyumbang kira-kira 38 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 48 peratus sektor tenaga kerja negara," katanya selepas melawat Bazar Riang Raya di KLCC di sini semalam. Kenyataannya mengenai lawatan itu disiarkan hari ini.

Semasa lawatan itu, Ewon berkata beliau menyokong penuh inisiatif Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) dan Koperasi Lembaga Getah Malaysia (KOPGET) menganjurkan bazar berkenaan yang menyediakan platform kepada usahawan dan peniaga kecil menambah pendapatan.

“Saya berharap kerjasama dua koperasi ini menjadi contoh kepada lebih 16,000 koperasi yang ada di Malaysia,” katanya.

Bazar itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan termasuk daripada koperasi dan pengusaha trak makanan.

Mengenai kejadian ribut yang melanda Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) minggu lepas yang menjejaskan peniaga bazar, Ewon berkata beliau telah meminta SKM untuk membantu koperasi yang terkesan di bawah program bantuan akibat bencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan