KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Teknologi kesihatan Taiwan dan model kerjasama inovatif yang diketengahkan menerusi inisiatif “Go Healthy with Taiwan 2026” menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti perubatan Malaysia, ketika negara berdepan kebimbangan kadar diabetes dalam kalangan dewasa.
Menurut Techtrans Advanced Sdn Bhd, panggilan cadangan global yang diterajui International Trade Administration (TITA) dan Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) itu menarik penyertaan lebih 300 profesional daripada sektor perubatan, kesihatan awam, akademik dan industri semasa Persidangan Diabetes Malaysia 2026 dari 12 hingga 14 Jun lepas.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kadar prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa di Malaysia telah mencapai 15.6 peratus, bersamaan satu daripada setiap enam orang dewasa menghidap penyakit tersebut.
“Lebih membimbangkan, kira-kira 40 peratus daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka sedang menghidap diabetes,” menurut kenyataan itu.
Presiden Diabetes Malaysia Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin dalam kenyataan sama menyatakan penghargaan terhadap usaha “Go Healthy with Taiwan” dalam mengetengahkan penyelesaian inovatif bagi menangani isu kesihatan.
“Pengurusan diabetes memerlukan pengetahuan diterjemahkan kepada tindakan, dan penggunaan teknologi mampu meningkatkan kualiti penjagaan serta keberkesanan pengurusan penyakit,” katanya.
Sementara itu, pakar endokrinologi pediatrik Dr L. Alexis Anand Dass berkata model inovasi rentas disiplin yang menggabungkan penjagaan kesihatan pintar, teknologi sukan dan inisiatif promosi kesihatan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuh usaha pencegahan penyakit, selaras dengan fokus utama “Go Healthy with Taiwan”.
Profesional industri daripada sektor farmaseutikal Vanessa Lim pula berkata Taiwan mempunyai asas yang kukuh dalam penyelidikan dan inovasi perubatan serta memiliki daya saing antarabangsa daripada aspek keupayaan penyelidikan, kemajuan teknologi dan pembangunan industri.
Menghubungkan idea inovatif dari seluruh dunia kepada ekosistem teknologi kesihatan Taiwan, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama berimpak tinggi serta membantu merealisasikan idea kepada penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup masyarakat.
Panggilan cadangan global “Go Healthy with Taiwan 2026” kini dibuka untuk penyertaan sehingga 5 Ogos, dengan tiga pasukan terbaik bakal menerima hadiah bernilai USD30,000 (kira-kira RM141,000) setiap satu berserta peluang jalinan kerjasama dengan syarikat teknologi terkemuka Taiwan.
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan penyertaan dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi: https://gohealthy.taiwanexcellence.org/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial