EKONOMI

Berjaya Land Sasar Tarik Lebih Ramai Pelancong Ke Pulau Redang Dengan Penerbangan Carter Baharu

03/04/2024 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Cabang penerbangan Berjaya Land Bhd, Berjaya Air Sdn Bhd berharap dapat merancakkan lagi industri pelancongan di Pulau Redang, Terengganu dengan membawa masuk lebih ramai pelancong antarabangsa terutamanya dari Singapura, susulan pelancaran perkhidmatan penerbangan carter baharunya.  

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Berjaya Land Syed Ali Shahul Hameed berkata perkhidmatan penerbangan yang ditawarkan oleh The Taaras Beach & Spa Resort itu berlepas dari Lapangan Terbang Seletar di Singapura dan tiba di Pulau Redang melalui Berjaya Air dan menandakan satu pencapaian penting The Taaras dalam industri perhotelan.

Beliau berkata ini akan mengukuhkan lagi komitmen The Taaras untuk menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan yang lancar dan pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan untuk pengembara.

“Penerbangan sulung kami dari Singapura ke Pulau Redang menawarkan tahap kesalinghubungan dan pengalaman perjalanan mewah terbaik.

“Alami perjalanan yang lancar dengan perkhidmatan penerbangan premium Berjaya Air, membawa anda terus ke destinasi percutian anda dengan selesa dan mudah,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan penerbangan carter baharu itu, baru-baru ini.

Taaras Beach & Spa Resort dan Berjaya Air adalah anak syarikat milik penuh Berjaya Land.

Pengembara dari Singapura kini boleh menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Seletar ke Lapangan Terbang Redang, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Pulau Redang kepada hanya satu jam 20 minit.

Pada masa ini, pengembara Singapura perlu menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Subang dari Lapangan Terbang Seletar, sebelum sampai ke Pulau Redang, yang secara keseluruhannya akan mengambil masa tiga jam.

Pengurus besar kumpulan Berjaya Hotels and Resorts Pravir Mishra berkata pelancong ditawarkan pakej promosi istimewa yang termasuk penginapan tiga hari dan dua malam di The Taaras Beach & Spa Resort, ditambah dengan tiket penerbangan pergi balik, sarapan bufet harian dan pengangkutan ke lapangan terbang.

Ciri-ciri eksklusif penerbangan bersama Berjaya Air termasuk akses ke Seletar Business Aviation Centre, bagasi daftar masuk 15 kilogram bagi setiap orang, laluan ekspres menaiki pesawat dan hidangan ringan di atas pesawat dengan layanan mesra, katanya.

"Kami berbangga untuk menawarkan laluan baharu yang selesa dan cekap, menyediakan hubungan terus dan lancar ke ke Pulau Redang kepada pelancong," katanya.

Menurut Pravir, resort itu menawarkan peluang kepada penyelam skuba untuk meneroka lebih 30 kawasan menyelam yang menarik di sekitar Pulau Redang.

Selain itu, katanya, pada musim penyu bertelur dari April hingga Oktober, pelancong turut berpeluang untuk menyaksikan aktiviti pelepasan anak penyu ke laut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan