AM

Pulau Pinang Kembali Jadi Tumpuan Sempena Musim Durian, Cuti Sekolah

02/06/2025 07:48 PM

GEORGE TOWN, 2 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang kembali menjadi tumpuan orang ramai sempena musim durian dan cuti sekolah yang jatuh pada masa sama.

Ribuan pengunjung dari seluruh negara, termasuk pelancong asing berkunjung ke negeri berkenaan sejak Khamis lepas, hari pertama cuti sekolah bermula dan jumlah pengunjung kian meningkat sejak Sabtu hingga hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati bukan sahaja jalan menghala ke Balik Pulau, iaitu antara lokasi ikonik bagi penggemar raja buah di Pulau Pinang sesak teruk, tetapi hampir keseluruhan tempat tumpuan pelancong seperti Bukit Bendera, Padang Kota dan Batu Ferringhi menerima kehadiran ramai pengunjung.

Penjual buah durian Ahmad Salim Suhaimi, 45, berkata musim raja buah di negeri itu bermula awal bulan ini sehingga Ogos, dengan kawasan Balik Pulau terus menjadi tumpuan berikutan reputasinya sebagai tempat pengeluar durian berkualiti tinggi.

Beliau berkata kawasan itu sememangnya terkenal dengan durian seperti Musang King, Black Thorn serta Hor Lor sehingga ada pengusaha dusun mengambil peluang menawarkan pakej makan durian serta lawatan ke dusun untuk memberi pengalaman lebih menarik kepada pelancong.

“Sejak Khamis kami menerima kunjungan penggemar durian dan kemuncaknya sejak Sabtu hingga hari ini, lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara terutama Singapura datang ke sini untuk membeli dan makan durian menyebabkan jalan sekitar Balik Pulau hingga Teluk Bahang sesak sekarang ini.

“Cuma musim buah durian baru bermula dan dijangka bertambah dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi. Namun, ramai datang sekarang kerana cuti hujung minggu yang panjang dan musim cuti sekolah,” katanya yang mampu menjual ratusan biji durian berkualiti tinggi setiap hari.

Seorang penggemar durian Siti Hasmuna Rohaimi, 38, berkata beliau sekeluarga yang tinggal di Negeri Sembilan sanggup datang ke Pulau Pinang bagi menikmati raja buah di Balik Pulau.

Beliau berkata rasa buah durian Balik Pulau memberikan keunikan tersendiri dengan tekstur yang lebih lembut dan lemak berbanding dengan durian di negeri lain, malah tiga anaknya turut mengemari raja buah di lokasi itu.

“Bila datang sendiri ke Balik Pulau, lebih puas hati kerana dapat menikmati durian segar. Ada yang baru luruh dan kebanyakannya mempunyai rasa yang unik, lebih murah dan asli berbanding dijual di negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata sejak Jumaat hingga hari ini tempahan hotel di seluruh negeri itu hampir penuh, terutama di kawasan Batu Ferringhi dan George Town.

“Harga pakej makan durian di dusun lebih murah iaitu RM80 hingga RM100 seorang kerana pihak hotel bekerjasama dengan pemilik kebun durian. Jadi, pelancong boleh menikmati terus di sana atau makan durian di hotel secara terbuka seperti di tepi pantai atau tepi kolam renang,” katanya.

Selain durian, pelancong turut mengambil peluang untuk menikmati tarikan lain di Pulau Mutiara seperti nasi kandar, makanan jalanan, kawasan pantai dan pusat peranginan yang terkenal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang, terutama pusat peranginan Bukit Bendera terus menjadi tarikan apabila menerima ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara, seperti Singapura kerana cuti persekolahan di negara itu juga sudah bermula.

“Pukul 6 pagi sudah ada barisan di Bukit Bendera sedangkan kereta api funikular mula beroperasi 6.30 pagi. Pengunjung yang datang meningkat sekali ganda, iaitu 8,183 orang pada Sabtu dan 9,396 orang semalam berbanding sekitar 4,000 pengunjung pada hari biasa,” katanya.

Selain jalan ke Balik Pulau sesak, Jambatan Pulau Pinang dan jalan-jalan utama di kawasan pulau terutama George Town dan Batu Ferringhi sesak dengan kenderaan.

Lokasi seperti Jeti Chew yang juga dikenali Tan Jetty, iaitu perkampungan kecil nelayan yang dibina atas air, Armenian Street, Bukit Bendera dan Padang Kota turut menjadi tumpuan para pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan