Jenayah Indeks Di Kelantan Naik 15.1 Peratus, Kes Rogol Dan Curi Meningkat Ketara

03/06/2025 09:12 PM

KOTA BHARU, 3 Jun (Bernama) -- Jenayah indeks di Kelantan mencatat peningkatan sebanyak 15.1 peratus sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2024 berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata sebanyak 2,296 kes direkodkan pada 2024, berbanding 1,994 kes bagi tempoh sama pada tahun 2023 iaitu peningkatan 302 kes.

“Daripada jumlah itu, jenayah dalam kategori kekerasan meningkat 8.5 peratus iaitu daripada 390 kepada 423 kes, manakala kategori harta benda meningkat 16.7 peratus, daripada 1,604 kepada 1,872 kes.

“Antara kes kekerasan yang menunjukkan peningkatan ketara ialah rogol yang naik kepada 157 kes berbanding 130 kes tahun sebelumnya (naik 20.7 peratus), serta samun berkawan tanpa senjata api yang meningkat kepada 54 kes berbanding 43 kes (naik 25.6 peratus),” katanya semasa menghadiri Program Perbincangan Dialog Awam Ketua Polis Kelantan Tahun 2025 bertajuk ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan’ di Universiti Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata kes mencederakan turut menunjukkan peningkatan, dengan 157 kes berbanding 147 tahun lepas (naik 6.8 peratus).

Bagaimanapun, beberapa kes kekerasan mencatat penurunan ketara termasuk kes bunuh yang menurun kepada empat kes berbanding sembilan kes (turun 55.6 peratus) dan samun bersenjata api yang turun kepada dua kes berbanding lima kes (turun 60 peratus).

Sementara itu, dalam kategori harta benda, curi kekal penyumbang utama dengan 732 kes dilaporkan, meningkat 50.9 peratus berbanding 485 kes tahun sebelumnya.

“Kes pecah rumah turut melonjak kepada 628 kes, meningkat 41.7 peratus berbanding 443 kes pada 2023. Kes curi motokar juga naik kepada 12 kes berbanding sembilan tahun lepas (naik 23.3 peratus).

“Walau bagaimanapun, curi motosikal menunjukkan penurunan ketara, daripada 128 kes kepada 68 kes (turun 46.9 peratus),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan