AM

Suruhanjaya Pekerja Gig: Kesuma Terajui Jawatankuasa Pelbagai Kementerian, Pihak Berkepentingan

04/03/2024 10:36 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menerajui sebuah jawatankuasa pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Dalam satu kenyataan hari ini, KESUMA memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan meneliti terma rujukan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig yang merangkumi aspek fungsi, perundangan, kewangan dan keanggotaan bagi suruhanjaya itu.

“Satu laporan interim akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh masa tiga bulan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan itu

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada pelbagai pihak, yang antaranya optimis bahawa pekerja ekonomi gig dapat memperbaiki status mereka sebagai pekerja tidak formal.

Ini bagi membolehkan mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti dilakukan pekerja formal serta berharap jawatankuasa itu dapat menangani isu pemandu perkhidmatan e-hailing dan penghantar makanan (p-hailing) yang diberhentikan secara tidak munasabah oleh syarikat pengendali masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan