AM

18 Premis Makanan Di Kedah Diarah Tutup

01/03/2024 03:04 PM

ALOR SETAR, 1 Mac (Bernama) -- Sebanyak 18 premis makanan di tiga daerah di Kedah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Rabu lepas.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kedah Dr Norizan Ahmad berkata langkah penutupan premis terlibat dibuat setelah gagal mencapai penilaian kebersihan premis lebih daripada 75 peratus seperti ditetapkan.

"JKN Kedah telah menjalankan operasi bersepadu secara serentak pada Rabu lepas di tiga daerah iaitu Kota Setar, Sik dan Baling. Sepanjang operasi itu, sebanyak 174 premis makanan telah diperiksa dan 164 notis telah dikeluarkan dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM66,150.

"Sebanyak 18 premis dikenakan penutupan dan satu premis diarahkan tutup kerana terdapat hurungan lipas, lalat dan tikus (LILATI)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, tumpuan turut diberikan terhadap penguatkuasaan kebersihan dan kesalahan merokok serta pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tumpuan.

Menurut Dr Norizan, bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, sebanyak 31 notis kesalahan dikeluarkan antaranya melibatkan kesalahan merokok di kedai makan, gagal mempamerkan tanda dilarang merokok dan orang belum dewasa yang merokok. 

"Turut menerima notis ialah premis gagal mempamerkan tanda larangan penjualan kepada orang belum dewasa. Semua notis dikeluarkan dianggarkan berjumlah RM7,800," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 183 premis tumpuan awam meliputi komersial serta perniagaan telah diperiksa dan tiga premis dikesan pembiakan nyamuk Aedes dengan kompaun berjumlah RM1,500 dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. 

Katanya, tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya individu yang dikenakan notis tidak menjelaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan. 

"Diharapkan operasi ini akan meningkatkan aspek kebersihan premis dan penyediaan makanan, mengurangkan kesalahan merokok di semua kawasan larangan merokok dan meningkatkan tahap kewaspadaan masyarakat terhadap penyakit berjangkit termasuk demam denggi," katanya. 

Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan (KKM) atau melalui WhatsApp di 010-8608949.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan