AM

KUSKOP PERUNTUKKAN RM100,000 UNTUK KOPERASI KUMPULAN WALIT KANIBONGAN

10/02/2024 12:39 AM

KOTA KINABALU, 9 Feb (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan untuk membina sebuah pusat pemprosesan sarang burung walit di Kampung Sinukab Kanibongan, Pitas.

Ewon berharap peruntukan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), juga merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat membantu koperasi dan ahli-ahli koperasi itu meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya percaya perusahaan sarang burung walit ini boleh memberikan pendapatan kepada ahli-ahli koperasi sekiranya diusahakan dan diurus dengan baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke tempat pemprosesan sarang burung walit milik koperasi itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan pemimpin masyarakat setempat.

Sementara itu Pengerusi Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Rosli Sulampung merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas pengumuman peruntukan RM100,000 untuk koperasi itu membina sebuah kilang memproses sarang burung walit.

“Bagi pihak pengurusan koperasi saya amat berbesar hati dan bersuka cita. Ini amat bermakna bagi kami untuk terus memajukan koperasi dan membantu meningkatkan pendapatan ahli koperasi seramai 145 orang,” katanya.

Terdahulu itu Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai industri burung walit di Sabah khususnya di Kanibongan oleh Ketua Unit  Walit dan Aneka Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Jobit Sulangi.

Jobit berkata harga sarang burung walit amat lumayan dengan kategori Sarang Mangkuk pada harga RM3,700 sekilogram, Patahan Besar (RM2,900), dan Kaki Sarang (RM1,900).

Ewon dalam lawatannya ke Pitas hari ini turut mengadakan kunjungan ke Asrama Avasi Kanibongan dan seterusnya merasmikan Program Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga melalui ceramah keusahawanan daripada agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Program itu dianjurkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Koperasi Keluarga Mailin Masipin Kanibongan Berhad di Dewan Futsal Kampung Pantai Kanibongan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan