AM

Sprm Serah Notis Kepada Mirzan Untuk Isytihar Aset

18/01/2024 06:39 PM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan satu perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada ahli perniagaan Mirzan Mahathir yang mengkehendaki anak bekas Perdana Menteri itu mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam pegangannya.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata aset berkenaan sama ada dalam atau luar negara, perlu diisytiharkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Suruhanjaya itu berkata notis diserahkan ketika beliau hadir ke ibu pejabat SPRM pada kira-kira pukul 9.30 pagi semalam bagi membantu siasatan.

"Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," menurut kenyataan itu.

Menurutnya siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM berkata ia telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkaitan dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, dan Kertas Panama.

Menurutnya sehingga kini 10 saksi dipanggil untuk dirakam pernyataan berhubung kes itu.

"SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan berkenaan dan siasatan masih giat dijalankan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan