Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Razif Rosli
IPOH, 13 Jan (Bernama) -- Pengeluar air mineral premium jenama tempatan, Bubbles O2 menyasarkan untuk mencapai jualan bernilai RM12 juta pada tahun ini.
Pengasas dan Pengerusi Bubbles O2 Sdn Bhd, Arifin Marzuki berkata angka itu adalah peningkatan sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan yang dicatatkan pada tahun lalu.
"Setakat Jun 2023, Bubbles O2 telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.7 juta.
"Pada tahun sebelum itu bagi tempoh sama pula, Bubbles O2 mencatatkan jualan sebanyak RM3.7 juta menerusi penjualan air mineral di seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama selepas dinobatkan sebagai Ikon Keusahawanan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Pelajar Kolej Poly-Tech MARA dan University Poly-tech Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya optimis mampu mencapai sasaran atas faktor air mineral Bubbles O2 semakin diminati di kalangan orang ramai berikutan keunikannya yang kaya dengan oksigen terlarut dan menjadikannya kelihatan berkilau seperti kristal setelah dibotolkan dari sumbernya.
Selain itu, Arifin berkata sasaran berkenaan juga disebabkan Bubbles O2 telah menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei.
"Terbaru, Bubbles O2 telah mendapat kelulusan US FDA dalam usaha memperluaskan pasaran di Amerika Syarikat yang dijangka akan dieksport pada tahun ini," katanya.
Menurutnya Bubbles O2 turut sedang berusaha untuk pasaran baharu di United Kingdom (UK) untuk memperkenalkan air mineral yang didatangi dari sumber air dan diproses di Rantau, Negeri Sembilan itu dalam masa terdekat.
Produk air mineral Bubbles O2 kini boleh didapati di lebih banyak rangkaian pasar raya dan kedai serbaneka termasuklah 7-Eleven, Petronas Mesra, Aeon Big, Lotus’s dan kawasan rehat dan rawat PLUS, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial