AM

Mini Karnival KPDN Melaka Rekod Jualan RM1.3 Juta

28/06/2026 01:08 PM

MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Mini Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas berjaya merekodkan jualan berjumlah RM1.3 juta sehingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sebanyak 200 barangan ditawarkan sempena karnival tersebut serta program Jualan Rahmah MADANI yang berjaya menggamit kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

"Jualan Rahmah MADANI merupakan program yang memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat, tambahan pula bila ada jualan 'happy hour' yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

"Ia amat membantu rakyat dalam keadaan mereka berdepan dengan (peningkatan) kos sara hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mini karnival tersebut di Dataran Klebang, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hasim dan Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin.

Sementara itu Fuziah berkata KPDN menerima sebanyak 446,247 aduan pada tahun lepas yang turut melibatkan 8,475 aduan berkaitan transaksi dalam talian.

Beliau berkata pada tahun ini pula, sehingga 27 Jun lepas, sejumlah 28,419 aduan diterima termasuk 5,588 aduan berkaitan transaksi dalam talian.

Pada majlis berkenaan, Fuziah turut melancarkan buku 'Pengembaraan Kippy Bersama Pengguna Cilik' terbitan KPDN Melaka yang bertujuan memupuk kesedaran kepenggunaan sejak usia muda agar generasi akan datang lebih bijak membuat pilihan, memahami hak sebagai pengguna serta mengamalkan perbelanjaan yang berhemah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan