AM

Polis Buru Suspek Baling Molotov Cocktail Ke Kediaman Ngeh

10/01/2024 05:08 PM

IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail ke rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar dekat sini awal pagi tadi, sehingga menyebabkan sebuah kenderaan terbakar.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis Manjung telah menerima panggilan dari Ngeh sendiri yang memaklumkan insiden itu pada pukul 2.55 pagi tadi.

Katanya kejadian itu menyebabkan sebuah kereta Mercedes Benz terbakar, manakala sebuah kereta Honda CR-V terjejas sedikit pada bahagian belakang serta kanannya akibat bahang kebakaran, dan sebuah Toyota Hilux turut terjejas pada bahagian hadapannya.

Dalam kenyataan di sini pagi ini beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Mohd Yusri seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim dengan menelefon 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam kenyataan hari ini berkata DAP meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perhatian serius terhadap kejadian itu, di samping perlu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berkata pihaknya telah melaksanakan proses forensik kebakaran di kediaman Ngeh.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil 11 sampel di tempat kejadian untuk dibawa ke makmal bagi siasatan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan turut dibantu oleh Unit K9 JBPM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan