Oleh Balqis Jamaludin
BANDAR PERMAISURI, 10 Jan (Bernama) -- Haruman bunga-bungaan daripada pewangi sebuah jenama terkenal yang diletakkan di penjuru sinki, memenuhi ruang udara sehingga membangkitkan rasa selesa dan segar.
Sementara jubinnya pula yang berona biru dan kelabu lembut pada dinding begitu menenangkan mata sebaik melangkah ke tandas Sekolah Kebangsan (SK) Banggol di sini, yang turut dilengkapi kemudahan rekaan moden dan terkini antaranya pancuran air mandi, pili air dan mangkuk tandas, sekali gus menyerlahkan gaya eksklusif.
Bukan itu sahaja, pintu setiap tandas juga bercorak abstrak dengan warna ceria, selain turut terdapat pokok hiasan di sudut penjuru dan bunga-bungaan hiasan di sekitar kawasan sinki, pastinya membuatkan sesiapa pun tidak menyangka tempat itu merupakan tandas sebuah sekolah rendah.
Langkah itu merupakan hasil projek naik taraf dan selenggara tandas oleh Kementerian Pendidikan (KPM) susulan daripada kepekaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu masalah tandas uzur di sekolah diatasi untuk kesejahteraan pelajar.
Tandas sekolah berkenaan yang sebelum ini turut berhadapan dengan suasana kusam, tidak cukup kemudahan, siling dan peralatan hampir rosak serta membahayakan sepertimana sekolah-sekolah lain, akhirnya berubah menjadi lebih selesa, selamat dan juga eksklusif hasil daripada inisiatif berkenaan.
Perubahan ketara projek naik taraf ini dengan kos sebanyak RM70,000 yang bermula awal Ogos tahun lepas dan siap serta mula digunakan pada akhir Oktober telah membuatkan 300 murid di sekolah itu berasa seronok dan lebih bersemangat serta teruja untuk datang ke sekolah.
Menyingkap pengalaman sebelum ini, murid tahun enam Alya Hanan Humaira Hairul, 12, memberitahu Bernama tandas di sekolahnya itu sering kali berhadapan dengan pelbagai kerosakan seperti pintu yang tidak boleh berkunci, tangki air pam tandas tidak berfungsi dan berbau kurang menyenangkan.
“Tandas selalu sangat rosak misalnya, ada masa tidak dapat mengepam air sehingga menimbulkan bau busuk. Tetapi, kini tidak lagi apabila tandas di sekolah ini sangat cantik, air pun laju dan tidak lagi berbau kerana tangki pam sudah elok,” katanya.
Keadaan itu juga membuatkan rakannya, Muhammad Hafiz Mohd Farris, 12, bersama murid lain bersemangat untuk turut sama menjaga kebersihan dan kecantikan tandas bagi memastikan mereka tidak lagi berhadapan dengan pengalaman buruk menggunakan tandas seperti sebelum ini.
Dia berkata guru di sekolah ini sentiasa memberi nasihat dan peringatan bahawa tandas merupakan kegunaan bersama dan disebabkan itu, setiap murid bertanggungjawab menjaganya dengan baik dan tidak menyerahkan kesemua tugas kepada pencuci tandas.
“Guru-guru pun sering mengingatkan bahawa kami sangat beruntung dapat menggunakan tandas secantik ini di sekolah. Bagi memastikan kami tidak lupa, kata-kata nasihat mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri dan tandas turut ditampal di dinding,” katanya.
Dalam pada itu, guru besar sekolah berkenaan Mohd Suhaimi Endut berkata SK Banggol merupakan antara sekolah terawal menerima peruntukan kerja menaik taraf tandas sekolah dan paling awal disiapkan di Setiu, sekali gus menamatkan episod tandas yang sering kali mengalami kerosakan dan tersumbat sejak digunakan pada 2002.
Mengenai reka bentuk membaik pulih tandas sekolah, beliau berkata konsep suasana ceria, selesa serta selamat menjadi pilihan dan kontraktor juga sentiasa diingatkan untuk menggunakan bahan pembinaan tahan lama dan berkualiti.
Tandas duduk juga dipilih untuk menggantikan tandas cangkung serta terdapatnya sebuah bilik mandi bagi kemudahan pelajar yang terlibat dengan aktiviti sekolah pada waktu petang mahupun selepas sesi pembelajaran.
“Boleh dikatakan semua rumah ketika ini menggunakan tandas duduk, jadi ramai murid tidak pandai menggunakan tandas cangkung. Kerana itu, ada yang sanggup menahan ‘hajat’ untuk menggunakan tandas sehingga habis waktu persekolahan.
“Mereka hanya menggunakan tandas di rumah dan kita bimbang jika ia berlarutan, akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan murid pada kemudian hari,” katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang peka dengan masalah tandas uzur di sekolah di negara ini.
Beliau berkata mungkin ada yang beranggapan bahawa isu tandas adalah remeh, tetapi bagi guru dan murid sekolah ini, keseronokan menggunakan tandas baharu hasil naik taraf berkenaan merupakan satu hadiah sangat berharga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial