JITRA, 7 Julai (Bernama) -- Misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam kereta yang berada di dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, dekat sini ialah keluarga terbabit.
Mangsa ialah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, 6 bulan.
Adik kepada Mohamad Azim Izat, Nor Syafiqah Ishak, 28, berkata pengecaman awal terhadap kesemua mangsa di lokasi kejadian telah dibuat dan mendapati mayat berkenaan ialah mangsa yang hilang.
"Sebenarnya, kami sudah buat pencarian di sepanjang jalan Sungai Korok sejak hari abang hilang, tetapi tiada petunjuk disebabkan sungai ini luas dan dalam, air pun keruh.
"Sehinggalah pagi ini apabila air sungai surut sikit ada orang ternampak hujung bonet kereta dan kami semua terus ke sini. Apabila kereta ditarik ke tebing sungai dan mayat dibawa naik ke atas, adik lelaki saya sahkan semua jenazah ialah abang, isteri dan anak-anaknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Nor Syafiqah berkata sebelum kejadian, kesemua mangsa bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, dekat Jitra sebelum dikatakan bertolak pulang ke rumah mereka di Jerlun kira-kira pukul 5.30 pagi, Sabtu.
"Tetapi apabila depa (mereka) tak sampai-sampai, kami mula bimbang lalu hubungi dan cari mereka. Hingga tengah hari tidak jumpa, kami terus lapor polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta jatuh di dalam sungai pada 8.38 pagi.
"Dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan berada di dalam sungai dan terdapat enam mangsa, iaitu seorang lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi berada di dalam kenderaan itu.
"Proses pengecaman mangsa telah dijalankan oleh waris dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa selesai sepenuhnya pada 11 pagi tadi," katanya.
Beliau berkata menurut anggota penyelamat, kesemua mangsa ditemukan di tempat duduk penumpang di bahagian belakang dan cermin kereta telah dipecahkan untuk mengeluarkan mayat berkenaan.
"Sungai ini berkedalaman enam meter dan didapati terdapat juga kesan tayar disebabkan brek kira-kira satu meter dari tebing sungai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial