AM

Projek Naik Taraf, Pelebaran Jalan Kawasan Kempas Utama Pada Tahap 94 Peratus - Exco

01/07/2025 11:23 AM

JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Projek menaik taraf dan pelebaran jalan di kawasan Kempas Utama di sini, yang merupakan projek sakit sebelum ini, kini pada tahap 94 peratus disiapkan dan kemajuannya mengikut garis masa ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek bernilai RM44.6 juta bermula sejak Februari 2018 itu dijangka memanfaatkan lebih 15,000 pengguna yang berulang alik dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya setiap hari.

“Setelah penamatan kontraktor asal akibat kelewatan, projek ini berjaya diselamatkan menerusi pelantikan kontraktor penyelamat.

“Pelebaran jalan sepanjang 2.2 kilometer daripada dua kepada empat lorong bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad Fazli berkata projek itu turut melibatkan pembinaan jambatan baharu serta perobohan jambatan lama yang sempit, sekali gus membantu melancarkan aliran Sungai Tebrau di kawasan tersebut. 

Beliau berkata pemasangan lampu jalan serta naik taraf sistem perparitan sedia ada juga dilaksanakan bagi menambah baik aspek keselamatan dan infrastruktur.

“Menurut pihak berkuasa, laluan itu mula digunakan sejak April lepas walaupun projek dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025. Buat masa ini, kerja terakhir melibatkan perobohan jambatan lama giat dijalankan tanpa menjejaskan aliran trafik.

“Pihak bertanggungjawab berharap projek ini dapat disempurnakan seperti dirancang dan memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan