Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Masa depan industri pengangkutan Malaysia kelihatan cerah, sejajar dengan visi jelas kerajaan bagi mewujudkan sistem infrastruktur pengangkutan moden lebih terhubung serta komitmen terhadap penggunaan teknologi terkini.
Sehubungan itu, keperluan meningkatkan integrasi pengangkutan lebih cekap semakin mendesak, termasuk usaha memulakan projek mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3, Projek Laluan Rel Pantai Trimur (ECRL), dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
"Kerajaan telah merangka visi jelas untuk masa depan integrasi pengangkutan. Apabila projek-projek ini dilaksanakan, rakyat Malaysia boleh menjangkakan kaedah lebih terhubung dan mudah untuk bergerak pada masa depan," kata Pensyarah Kanan Pusat Kajian Logistik dan Pengangkutan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Rohafiz Sabar dalam temu bual dengan BERNAMA.
Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata matlamat kerajaan adalah untuk membangunkan sistem transit tanpa sempadan mesra pengguna dan menghubungkan bandar, wilayah serta kaedah pengangkutan secara cekap.
Sistem ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan pelawat dalam bentuk akses mudah serta mampan untuk melakukan perjalanan ke serata negara, katanya.
Bagi membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha ini, Belanjawan 2024 menyaksikan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM4.7 bilion untuk menaik taraf projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) atau LRT Laluan Shah Alam dan sistem sokongannya.
Projek MRT Laluan 3 dengan kos keseluruhan RM50.2 bilion, meliputi jarak kira-kira 51 kilometer dan 31 stesen, termasuk 10 stesen pertukaran dengan lapan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.
Kerajaan turut memperuntukkan RM74.96 bilion untuk pembangunan ECRL yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang.
Selain itu, projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka melibatkan pembinaan jambatan di Selat Johor setinggi 25 meter bagi menghubungkan kedua-dua negara.
Pada Disember lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian itu sedang melaksanakan permintaan untuk maklumat bagi melihat cadangan daripada pihak swasta berkaitan pelaksanaan projek yang sebelum ini ditangguhkan oleh Malaysia dan Singapura pada 2018.
Penggunaan teknologi terkini
Mengulas peranan teknologi terkini, Rohafiz menekankan kepentingan penggunaannya dalam pengangkutan seperti sistem tiket pintar, aplikasi maklumat masa nyata dan pilihan pembayaran digital untuk meningkatkan kecekapan aspek pengangkutan.
"Teknologi ini tidak hanya akan meningkatkan pengalaman penumpang tetapi juga menyediakan data penting bagi mengoptimumkan laluan dan perkhidmatan pengangkutan. Bagi penduduk di Lembah Klang misalnya, sistem seperti MRT yang menggunakan teknologi terkini telah mengubah aspek mobiliti dan penggunaan pengangkutan awam seperti kaedah tanpa tunai.
“Terdapat juga rancangan memperluas rangkaian MRT untuk menghubungkan lebih banyak kawasan dan meningkatkan integrasi dengan mod pengangkutan lain. Namun, laluan masa depan juga perlu dirancang teliti dengan tumpuan bagi mengurangkan tempoh perjalanan serta kesesakan lalu lintas," katanya.
Bagi perbelanjaan pengangkutan, beliau berkata Malaysia telah memperuntukkan RM17.6 bilion untuk infrastruktur pengangkutan, termasuk pembinaan dan peningkatan jalan raya serta peningkatan lapangan terbang dan pelabuhan yang sedia ada pada 2023.
Malah, katanya, perbelanjaan pengangkutan adalah fokus utama kerajaan dan menyumbang kira-kira 4.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan, katanya.
Pada masa sama, negara mengeluarkan hampir RM50.8 bilion dalam bentuk subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada tahun lepas.
"Wang (subsidi) ini boleh dimanfaatkan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam.
“Dengan pelaksanaan dan penyelesaian seperti projek-projek mega ini, rakyat boleh mengharapkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, terhubung dan mudah bagi manfaat bergerak merentasi negara pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial