AM

5,148 Asnaf Di Perlis Terima Manfaat Saringan Kesihatan Percuma

03/01/2024 10:34 PM

KANGAR, 3 Jan (Bernama) -- Sebanyak 5,148 asnaf terpilih di negeri ini menerima manfaat saringan kesihatan percuma melalui Pakej Kesihatan dan Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepanjang tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismuni Bohari berkata pakej kesihatan itu merangkumi fasa pertama iaitu perkhidmatan saringan kesihatan dan ceramah kesihatan, manakala fasa kedua melibatkan tambahan perkhidmatan saringan kesihatan mulut.

“Setiap asnaf yang telah dikenal pasti oleh pihak MAIPs melalui amil kariah akan berkumpul di masjid ditetapkan dan melalui persetujuan bersama pihak MAIPs, pakej saringan kesihatan dan ceramah kesihatan itu dijadikan pakej wajib untuk semua asnaf tersebut sebelum penyaluran bantuan kewangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini .

Beliau berkata kerjasama itu merupakan cetusan idea Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang disesuaikan dengan hala tuju baharu JKNPs untuk mempertingkatkan saringan kesihatan selari dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan ke arah ‘Penjagaan Kesihatan Untuk Komuniti'. 

“Ia juga selari dengan moto merakyatkan perkhidmatan kepada warga Perlis dalam menjadikan kesihatan sebagai tanggungjawab bersama menerusi Program Sihat Milik Semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan